Harian Metro

Lelaki ditahan tumbuk, ludah pemandu bas

-

Georgetown: Seorang lelaki ditahan selepas menumbuk dan meludah pemandu bas Rapid Penang di Bandar Sri Pinang di sini, jam 7.30 malam kelmarin.

Suspek berusia 46 tahun melakukann­ya kerana tidak dibenarkan menaiki bas terbabit.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, mangsa mendakwa tidak mengenali suspek dan ketika kejadian, ada lima penumpang dalam bas itu.

“Suspek tidak dibenarkan menaiki bas kerana dia tidak menunggu di hentian atau tempat dibenarkan.

“Mangsa ketika itu memandu bas rapid dari Bandar Seri Pinang menuju ke KOMTAR, melalui Jalan Lebuh Macallum. Dia berhenti di simpang empat kerana lampu merah sebelum didatangi suspek yang mengetuk pintu depan kenderaan berkenaan.

“Mangsa tidak membuka pintu kerana ia bukan di hentian bas. Suspek kemudian pergi ke tepi pengadu dan berlaku pertengkar­an sebelum kembali ke pintu masuk dan membukanya daripada luar.

“Suspek masuk ke dalam bas dan terus meludah serta menumbuk mangsa,” katanya pada kenyataan semalam.

Beliau berkata, selepas bergelut, mangsa mengunci pintu bas daripada dalam dan meneruskan pemanduan ke stesen bas di Pengkalan Weld di sini.

“Dengan bantuan polis bantuan bas Rapid, suspek yang ada di dalam bas dibawa ke Balai Polis Lebuh Pantai manakala mangsa membuat laporan berkaitan kejadian.

“Bas berkenaan turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan 323 kanun sama,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia