Sekat monopoli kartel
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan langkah drastik bagi mengatasi monopoli dalam industri telur yang menjadi amalan perdagangan sejak berpuluh tahun lalu.
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya sudah menubuhkan jawatankuasa untuk melihat kaedah terbaik mengatasi amalan perdagangan yang tidak berpihak kepada rakyat, sebagai usaha mengawal harga telur dalam jangka masa panjang.
Beliau berkata, pihaknya mengetahui berlaku masalah monopoli dan kartel berlaku dalam industri pengeluaran telur yang kebanyakan terikat dengan harga dari negara jiran.
“Keputusan ini dibuat bagi menjaga permasalahan berjuta rakyat Malaysia berbanding 26 pedagang dalam industri telur.
“Rakyat terpaksa menanggung beban sedangkan pedagang terbabit mengaut keuntungan berjuta ringgit.
“Maka, dengan adanya jawatankuasa terbabit, kita berhasrat menjalin hubungan bersama sektor swasta yang berminat dalam industri telur negara, sekali gus memecah monopoli dan amalan kartel,” katanya selepas program jualan rakyat Parlimen Pokok Sena, semalam.
Beliau diminta mengulas isu kenaikan harga telur yang tidak pernah selesai dan dikatakan didalangi mereka yang memonopoli industri terbabit.
Saifuddin berkata, pihaknya mendapati ada 26 pedagang tempatan mengimport makanan ternakan dari Brazil dan Argentina sejak berpuluh tahun lalu dengan nilai import sekitar RM35 bilion setahun membabitkan urusan perdagangan dibuat di Singapura.
Katanya, urusan terbabit termasuk dari segi kewangan, cukai dan insurans
Rakyat terpaksa menanggung beban sedangkan pedagang terbabit mengaut keuntungan berjuta ringgit”
Saifuddin Nasution Ismail
sebelum makanan ternakan itu dibawa masuk ke Malaysia dengan pemindahan harga yang mengakibatkan berlaku kenaikan harga ke atas produk berkenaan.
“Sementara menunggu laporan lengkap disiapkan jawatankuasa terbabit untuk dibentangkan ke Jemaah Menteri, kementerian akan pantau bekalan dengan undang-undang sedia ada, penternak pula akan merungut mengenai kos dan saya akan terus berdepan rungutan rakyat dengan harga telur meningkat.
“Perkara ini akan mengambil masa untuk dijayakan tetapi dengan berhasilnya usaha memecahkan monopoli terbabit maka sudah pastinya, ia memberi kesan jangka panjang kepada rakyat,” katanya.