Kaedah penentu nasib Zahid
Bahagian boleh usul Perhimpunan Agung Khas UMNO diadakan
Semua UMNO Bahagian boleh mengusulkan Perhimpunan Agung Khas UMNO diadakan bagi menentukan nasib Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam entri terbaru Twitternya membuat cadangan itu, sekali gus membayangkan beliau sendiri bersetuju diadakan Perhimpunan Agung Khas UMNO.
Dalam entrinya semalam, Mohamed Khaled menulis bahawa bahagian UMNO boleh usulkan persidangan khas.
“Bahagian boleh usulkan persidangan khas. UMNO Bahagian seluruh negara boleh mengusulkan supaya satu perhimpunan agung khas diadakan,” katanya.
Bagaimanapun, sehingga kini belum ada kenyataan susulan atau penjelasan maksud sebenar kedua-dua entrinya itu.
Kelmarin, bekas calon Presiden UMNO yang tewas dalam pemilihan, Khairy Jamaluddin mendesak Ahmad Zahid melepaskan jawatan Presiden segera.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, desakan dibuat di tengah-tengah krisis kepercayaan dalam kalangan ahli parti terhadap Ahmad Zahid dengan semakin banyak pemimpin dan Ahli Parlimen UMNO meninggalkan parti keramat Melayu itu.
Menurutnya, sekarang adalah masanya untuk Ahmad Zahid berundur daripada jawatannya memandangkan kebanyakan pemimpin meninggalkan parti kerana kecewa dengan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
(Sila berundur, Tuan. Sudah tiba masanya),” katanya menerusi Twitter, semalam.
Khairy membuat desakan itu bagi membalas kenyataan Ahmad Zahid kepada media yang menegaskan hanya dua pertiga daripada 146,000 perwakilan boleh melucutkan jawatannya menerusi Perhimpunan Agung UMNO.
Dua hari lalu, enam Ahli Parlimen UMNO keluar parti dan mendesak Ahmad Zahid meletak jawatan segera.
Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainudin mewakili kumpulan berkenaan dipetik sebagai berkata, Ahmad Zahid gagal memikul tanggungjawab sebagai presiden walaupun UMNO menghadapi masalah mendapatkan kepercayaan dan keyakinan ahli dan rakyat khususnya orang Melayu.
Lima lain adalah Ahli Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rosol Wahid, Ahli Parlimen Mersing Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Ahli Parlimen Tasik Gelugor Datuk Shabudin Yahaya, Ahli Parlimen Sabak Bernam Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Rabu lalu, Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor mengumumkan lima Ahli Parlimen dan sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selain 21 Ketua Bahagian di Sabah keluar parti berkuat kuasa serta-merta.