Tiga hari selesai 61,763 saman
Shah Alam: Sebanyak RM7.4 juta membabitkan 61,763 saman diselesaikan pesalah trafik di seluruh negeri ini sepanjang tiga hari tawaran diskaun 50 peratus yang berakhir kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shariat berkata, jumlah pembayaran yang berjaya dikutip pada hari terakhir adalah sebanyak RM3.1 juta membabitkan 25,158 saman.
Menurutnya, jumlah bayaran saman yang diterima meningkat sejak hari pertama program dilancarkan di seluruh negeri pada 13 Disember lalu.
“Pada hari pertama, sebanyak RM1.8 juta diperoleh dengan 14,918 saman, ia meningkat pada Jumaat dengan RM2.5 juta dan 21,687 saman diselesaikan.
“Seperti
dijangkakan, sambutan masyarakat pada hari Sabtu lebih baik berbanding dua hari sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Azman berkata, secara keseluruhannya program yang dijalankan pada kali ini lebih baik dan tersusun.
Program selama tiga hari itu diadakan di setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Selangor kecuali di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), mulai jam 9 pagi hingga 4.30 petang.
Semua saman layak mendapat diskaun kecuali saman kemalangan tahun semasa, saman berstatus NC saman berstatus waran tahun semasa, saman dalam perbicaraan atau berstatus mahkamah dan saman Op Selamat Tahun Semasa dan saman berkaitan lori.