Pertempuran masih sengit
Tentera kerajaan Yaman bertempur hebat dengan pemberontak Houthi di Hodeidah
Pertempuran sengit dilaporkan berlaku di bandar pelabuhan Hodeidah sejak Sabtu lalu, membawa kebimbangan kegagalan gencatan senjata yang dipersetujui antara kerajaan Yaman dengan pemberontak Houthi.
Jumaat lalu, wakil pemberontak dan kerajaan Yaman yang menyertai rundingan damai tajaan PBB di Sweden, mencapai persetujuan pelaksanaan gencatan senjata sebelum pengunduran tentera dari kawasan konflik boleh dilakukan.
Menurut laporan AFP semalam, sekurang-kurangnya 29 pemberontak, termasuk 22 anggota Houthi terbunuh sejak Sabtu lalu, dalam pertempuran darat dan serangan udara di wilayah Hodeidah.
Menurut sumber tentera kerajaan, tujuh pemberontak ditahan dalam serangan di daerah Al-Durayhimi, 20 kilometer dari Hodeidah.
Menurut penduduk yang dihubungi melalui telefon, pertempuran amat sengit dan bunyi jet boleh didengar sepanjang malam sehingga 5 pagi, semalam.
Berdasarkan persetujuan di Sweden itu, tentera kerajaan Yaman dan pemberontak akan berundur dari Hodeidah beberapa hari selepas gencatan senjata bermula.
Menurut laporan AlJazeera semalam, jurucakap Houthi berkata: “Kami menerima pesanan daripada PBB menetapkan tarikh permulaan gencatan senjata di Hodeidah pada 18 Disember.”
Persetujuan itu turut membabitkan pertukaran kira-kira 15,000 tahanan yang dijangka diselesaikan sebelum 20 Januari.
Menurut AFP, kedua-dua pihak bersetuju bertemu lagi pada hujung Januari untuk perbincangan lanjut rangka rundingan damai.
Konflik di Yaman bermula pada 2014 selepas pemberontak Houthi menawan Sanaa dan menggulingkan kerajaan Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi.
Tentera pakatan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) masuk campur menggempur pemberontak Houthi sejak 2015.
Perang Yaman menyebabkan lebih 60,000 terbunuh dengan separuh daripada hampir 30 juta rakyatnya kini diancam kebuluran.