PETAKA LUBANG
Tiga kenderaan terbabit nahas akibat jalan rosak
Jalan raya berlubang dipercayai menjadi punca kemalangan membabitkan tiga kenderaan dinaiki 11 individu termasuk bayi lelaki di kawasan Lung Manis Jalan BeluranTelupid, di sini, semalam.
Bagaimanapun, kesemua mangsa yang terdiri daripada tiga lelaki dan tujuh perempuan berusia antara lima bulan hingga 45 tahun hanya mengalami kecederaan ringan dalam kejadian jam 11.15 pagi itu.
Difahamkan, kejadian membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza yang datang dari arah Telupid menuju ke Beluran, manakala sebuah lagi kenderaan ialah pacuan empat roda datang dari arah bertentangan.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran Rosemidian Majid berkata, beliau bersama tujuh anggota bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan jam 11.18 pagi.
“Sebaik tiba di lokasi itu, didapati kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan,” katanya.
Difahamkan, kereta jenis Honda
CRV dipercayai memperlahankan kenderaan secara tibatiba bagi mengelak lubang.
Toyota Avanza yang sedang mengekori kemudiannya terlanggar bahagian belakang MPV terbabit.
“Sebuah pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan terpaksa mengelak Toyota Avanza itu lalu terbabas ke tepi kiri jalan raya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Rosemidian berkata, semua mangsa keluar sendiri dari kenderaan sebelum pihaknya tiba.