KESIHATAN ADIB KEMBALI MEROSOT
Paru-paru tunjukkan tanda penyatuan dan pengerasan
Keadaan kesihatan Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya yang parah dalam kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25 di Subang Jaya, bulan lalu dilaporkan merosot.
Institut Jantung Negara (IJN) menerusi satu kenyataannya, semalam berkata, fungsi paru-paru Adib dalam tempoh 24 jam lalu mengalami kemerosotan yang progresif.
“Selepas penilaian yang teliti, paru-parunya menunjukkan tanda penyatuan dan pengerasan hingga menjadikan proses pertukaran gas tidak efektif.
“Ini akibat kecederaan awal paru-paru yang teruk.
“Pada masa sama, fungsi buah pinggangnya juga tidak bertambah baik di mana dia terus memerlukan sokongan dialisis,” katanya.
Berdasarkan perkembangan terkini Muhammad Adib, IJN membuat keputusan untuk memasukkan semula sistem pengoksigenan membran Veno-Vevous ECMO (Veno-Venous Extracorporeal Membran) sekali lagi kepadanya jam 9 malam, kelmarin.
“Ia bagi membantu keperluan pernafasannya selepas perbincangan dilakukan doktor perubatan daripada
pelbagai kepakaran.
“Apa yang berlaku adalah kemerosotan keadaan kesihatannya. Muhammad Adib masih dalam keadaan kritikal.
“Berdasarkan keadaan terkini, lawatan adalah dihadkan dan kami minta seluruh rakyat Malaysia terus mendoakan agar Muhammad Adib
kembali pulih,” katanya.
Selasa lalu, IJN melaporkan, Muhammad Adib tidak lagi memerlukan mesin VV ECMO untuk membantu
pernafasannya.
Anggota bomba itu menggunakan mesin berkenaan sejak dipindahkan ke IJN dari Pusat Perubatan Subang Jaya.
Awal bulan ini, pasukan doktor di IJN mengalihkan mesin sokongan jantung selepas jantungnya boleh berfungsi sendiri.