Harian Metro

Didenda bawa lembu ke kawasan kawalan

-

Segamat: Seorang pemandu lori didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam atas dua pertuduhan membawa 12 lembu ke kawasan kawalan penyakit kuku dan mulut tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmat­an Veterinar (JPV) Negeri Johor, lima bulan lalu.

Majistret Salina Omar menjatuhka­n hukuman itu selepas tertuduh Suhaimi Sukar, 40, mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan selepas ia dibacakan jurubahasa mahkamah.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa membawa 12 lembu hidup menggunaka­n lori ke kawasan diwartakan sebagai kawasan kawalan penyakit kuku dan mulut tanpa perakuan kebenaran pindah daripada Pengarah JPV Negeri Johor.

Dalam pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan sama tanpa perakuan kesihatan veterinar juga daripada Pengarah JPV Negeri Johor.

Dia didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di tepi jalan berhadapan Pejabat Pos Labis, Jalan Labis/Yong Peng, Labis di sini, jam 4 petang, 3 Julai lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa dengan pertuduhan mengikut Peruntukan Perenggan 2(a)(iii) dan Peruntukan Perenggan 2(a)(iv) Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Dalam Negeri Johor 2005 (JPU 10) dan boleh dihukum mengikut mengikut Subseksyen 36(7) Akta Binatang (Pindaan) 2013 (Akta A1452) yang memperuntu­kkan hukuman denda sehingga RM15,000, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana dia perlu menanggung keluarga.

Mahkamah menjatuhka­n hukuman denda RM1,500 bagi setiap pertuduhan dan dipenjara empat bulan bagi setiap pertuduhan jika gagal membayar denda.

 ??  ?? SUHAIMI (kiri) diiringi keluar dari Mahkamah Majistret Segamat, semalam.
SUHAIMI (kiri) diiringi keluar dari Mahkamah Majistret Segamat, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia