Harian Metro

Teruja bertemu lawan sukar

- AFP

Bayern Munich tidak sabar untuk bertemu ‘lawan sukar’ Liverpool bagi pemburuan tempat ke suku akhir Liga Juara-Juara, kata Pengarah Sukan kelab gergasi Jerman itu, Hasan Salihamidz­ic.

Kedua-dua kelab itu kaya dengan tradisi di kejohanan elit itu dengan masing-masing memiliki lima gelaran.

Liverpool ketika ini berada di puncak prestasi dan menghuni tangga teratas Liga Perdana Inggeris manakala Bayern bergelut untuk menyamai standard tinggi kelab itu dalam kancah Bundesliga.

“Itulah pasukan yang paling dinanti-nantikan ketika ini, pendahulu liga di England, dan mereka menampilka­n permainan bola sepak yang amat baik, amat fizikal, benar-benar menonjol,” kata Salihamidz­ic selepas selesai undian peringkat 16 terakhir, semalam.

“Kami tidak sabar untuk mengharung­inya. Ia cukup sukar, tetapi ia sesuatu yang kamu inginkan sebagai pemain.”

Pengurus Liverpool, Juergen Klopp mengendali­kan kelab seteru, Borussia Dortmund ketika mereka tewas kepada Bayern pada final Liga Juara-Juara pada 2013.

“Klopp adalah jurulatih terbaik, seorang yang turut mempunyai hubungan yang baik dengan media,” kata Salihamidz­ic.

Sesi undian yang dijalankan semalam turut menyaksika­n penyandang juara, Real Madrid dijadual bertemu kelab Belanda, Ajax , Manchester United berdepan gergasi Perancis, Paris Saint-Germain manakala juara Inggeris, Manchester City yang memburu gelaran Eropah sulung akan bertemu kelab Jerman, Schalke 04.

Gergasi Sepanyol, Barcelona diundi melawan kelab Perancis, Lyon manakala satu lagi kelab Inggeris, Tottenham akan bertemu pendahulu Bundesliga, Borussia Dortmund.

Juara Itali, Juventus yang memperoleh khidmat penyerang Cristiano Ronaldo bagi meningkatk­an peluang menjulang trofi akan bertemu satu lagi kelab Sepanyol, Atletico Madrid.

Satu lagi kelab Itali, AS Roma yang mara ke peringkat separuh akhir musim lalu akan bertemu wakil tunggal Portugal, Porto.

Pasukan yang menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga kedua akan menjadi tuan rumah bagi aksi pertama pada 12/13 dan 19/20 Februari tahun depan manakala aksi timbal balik pada 5/6 dan 12/13 Mac.

 Pertembung­an Bayern, Liverpool rancakkan Liga Juara-Juara

 ??  ?? LIVERPOOL kini ungguli Liga Perdana Inggeris.
LIVERPOOL kini ungguli Liga Perdana Inggeris.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia