Harian Metro

BUDAK LEMAS HIDU ASAP

 Anak 4 tahun meninggal dunia hidu asap tebal bilik di banglo keluarga terbakar

- Norrasyida­h Arshad norrasyida­h@nstp.com.my

Impian empat beranak meluangkan masa beberapa hari di rumah keluarga di Seksyen 12 di sini, musnah apabila seorang daripada mereka maut dalam kebakaran di kediaman berkenaan, malam kelmarin.

Nenek mangsa yang enggan dikenali berkata, anaknya, Mohd Shafie Mohd Salih dan menantu, Yusmaliza Mohamad Yusof, masing-masing berusia 31 tahun serta dua cucunya, Daaniys Humaira (empat) dan Eiman Haider (setahun) datang ke rumahnya sejak beberapa hari lalu.

Katanya, Yusmaliza mengajak Mohd Shafie tidur di rumahnya kerana mereka sekeluarga sudah lama tidak bermalam di situ.

“Mereka tinggal di Seksyen 6 dan datang beberapa hari lalu untuk luangkan masa bersama kami.

“Ketika kejadian, saya tidak ada di rumah kerana bercuti di Melaka bersama abang Mohd Shafie,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Shah Alam, Selangor (HSAS) di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, Daaniys Humaira maut dipercayai lemas akibat terhidu asap selepas bilik tidur di rumah banglo milik datuk dan neneknya terbakar.

Nenek mangsa berkata, ketika kejadian, Mohd Shafie keluar membeli makanan.

“Saya tidak pasti bagaimana kejadian ini berlaku. Ketika di Melaka, saya terima panggilan telefon yang memaklumka­n rumah terbakar tanpa mengetahui kehilangan Humaira dan terus bergegas pulang.

“Ketika ini, seorang lagi cucu saya, Eiman Haider dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seksyen 15, Timbalan Penguasa Bomba Azmel Kamarudin, berkata, Daaniys Humaira dipercayai maut selepas terhidu asap.

Katanya, ketika anggota bomba cuba menyelamat­kan semua mangsa, Daaniys Humaira masih bernyawa manakala Mohd Shafie melecur di pinggang ke atas dan Eiman Haider cedera di kepala dan tangan.

“Mohd Shafie melecur ketika merempuh api bagi menyelamat­kan dua anaknya dan Daaniys Humaira dipercayai meninggal dunia dalam perjalanan ke HSA.

“Kebakaran dipercayai bermula dari ruang bacaan rumah itu yang terletak bersebelah­an dengan bilik tidur mangsa,” katanya.

 ??  ??
 ??  ?? KEBAKARAN sebuah bilik tidur banglo di Seksyen 12, Shah Alam, semalam.
KEBAKARAN sebuah bilik tidur banglo di Seksyen 12, Shah Alam, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia