Ibu 8 anak didenda RM56,000

Harian Metro - - Setempat -

Seremban: Seorang ibu lapan anak didenda RM56,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam, kerana membenarkan lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) tinggal di rumahnya di Taman Semarak, Nilai, awal bulan ini.

Zailani Abdul Karim, 47, mengaku bersalah bagi pertuduhan itu selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan terhadapnya di hadapan Hakim Maimoonah Aid.

Mengikut pertuduhan, wanita tidak bekerja itu membenarkan lapan PATI terbabit terdiri daripada lima warga India dan tiga warga Indonesia berusia 25 sehingga 43 tahun masuk dan tinggal di rumahnya.

Perbuatan itu dilakukan di Flat Taman Semarak Fasa 2, Taman Semarak, Nilai pada 4 Januari lalu jam 12.55 tengah hari.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 55E(1)Akta Imigresen 1959/63 dan jika sabit kesalahan boleh didenda minimum RM5,000 dan maksimum RM30,000 atau 12 bulan penjara atau kedua-duanya bagi setiap imigran yang ditemui di premis.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.