5 SYARAT KERJA JADI

Harian Metro - - Minda -

Dalam satu hadis Rasulullah SAW (diriwayatkan oleh al-Hakim, al-Tirmizi dan al-Baihaqi), Allah SWT sangat mencintai seorang Mukmin yang bekerja. Pada masa sama, Islam turut mencela mereka yang bermalas-malasan dan duduk menganggur seperti mana sabda Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Lebih baik seseorang bekerja dengan mengumpulkan seikat kayu api di belakangnya berbanding dengan seseorang yang meminta-minta (mengemis) lantas ada yang memberi atau enggan memberi sesuatu padanya.” (Riwayat al-Bukhari).

Bekerja adalah satu usaha seseorang untuk pelbagai asbab dan tujuan. Antaranya, menambah nilai seperti kebahagiaan, kesenangan, rezeki dan sebagainya. Tetapi, apabila seseorang itu memulakan pekerjaannya sehari-hari, tidakkah dia terfikir, apakah sebenarnya matlamat dan niat pergi bekerja ini?

Ada antara kita yang memikirkan matlamat utama bekerja untuk meraih gaji yang setimpal demi menyara kehidupan dirinya dan keluarga. Ada yang bermatlamatkan mencari pengalaman dan membina reputasi kerjaya. Ada yang ingin bermuamalah atau berurusan dengan orang lain sebagai memenuhi kepuasan silaturahim dan bersosial. Daripada perspektif Islam, semua matlamat dan niat ini tiada salah dan silapnya. Namun, untuk memastikan kita bakal memperoleh manfaat dan ganjaran di dunia mahu pun di akhirat, maka niat kita untuk bekerja itu perlu disulamkan dan dimulakan dulu dengan niat bekerja kerana Allah SWT.

Dalam Islam, bekerja ini satu bentuk kefarduan atau satu perintah Allah SWT seperti mana yang difirmankan-Nya dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): ‘Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” (Surah al-Taubah, ayat 105)

Akan hal ini, Allah SWT mengisyaratkan kita sebagai hamba-Nya untuk bekerja dalam keadaan terus mentaati segala suruhan dan larangan-Nya dan sentiasa mengingati Allah demi mendapatkan keredaan Allah

SWT. Apabila kita bekerja dengan niat yang tepat, maka kita akan sentiasa memiliki sifat waspada dan hati-hati terhadap etika, nilai dan hukum-hakam yang mendasari pekerjaan kita. Kita juga akan terpandu dengan wujudnya kesedaran mengenai halal dan haram serta lingkungan batasan dalam syariat Islam sepanjang waktu bekerja.

Kemudian, demi memanfaatkan hasil kerja kita sebaiknya, maka berniatlah juga untuk menjadikan kerja kita ini sebagai satu bentuk ibadah, tanda tunduknya nilai perhambaan kita kepada Allah SWT. Imam al-Ghazali Rahimahullahu Taala, dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin ada menyebutkan lima syarat untuk menjadikan sesuatu kerja itu sebagai ibadah.

Pertama kerja yang dibuat itu tiada unsur haram mahupun syubhah (meragukan). Dalam hal ini, segala perkara yang mungkar seperti penipuan, mengambil kesempatan, menindas pihak lain, dan sebagainya dielakkan demi menjaga kesucian nilai kerja yang dizahirkan. Misalnya, ada antara kita yang tidak bijak menguruskan kepentingan antara tugasan dan juga tuntutan atau kehendak peribadi yang tiada kaitan dengan pekerjaan. Masa yang sepatutnya digunakan dengan baik untuk menyiapkan kerja dibazirkan dengan melayari laman sosial atau laman perniagaan di Internet yang boleh dikategorikan sebagai satu bentuk ‘pencurian masa’ tanpa disedari.

Kedua kerja itu dimulakan dengan nawaitu atau niat yang tepat dan murni. Sudah tentulah niat yang paling utama adalah niat bekerja kerana Allah SWT. Dengan niat yang tepat seperti mana yang disebutkan di atas, maka reda Allah akan sentiasa mengiringi seseorang itu sepanjang waktu bekerja. Daripada Amirul Mu’minin Abu Hafs, Umar bin Al-Khattab RA, katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: ‘Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat, dan setiap orang mendapat (pahala) berdasarkan apa yang dia niatkan. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah bagi Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang dia ingin memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang dia ingin menikahinya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia niatkan.”(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ketiga kerja itu sepadan dengan gaji atau bayaran yang diterima. Setiap daripada kita menyumbang tenaga dan kepakaran yang dimiliki untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab di tempat kerja. Hasil daripada kepakaran dan sumbangan inilah, maka dalam kontrak pekerjaan kebiasaannya akan dinyatakan secara jelas jumlah bayaran gaji atau upah yang akan diberikan sebagai balasan oleh pihak majikan. Mungkin kerana kerja itu apabila dibuat berhari-hari dalam jangka masa panjang, semangat bekerja kadang kala mudah meruntun dan melonglai. Akan hal ini, kelihatannya ada dalam kalangan kita yang cuai dan culas dalam menjaga ‘kehalalan’ bayaran gaji yang diterima. Setiap sen yang kita terima dalam gaji itu perlu selaras tanggungjawab dan tugasan yang diamanahkan majikan atau organisasi. Bertangguh-tangguh kerja, ponteng, malas, membuat perkara lain seperti berniaga atau bersosial yang keterlaluan adalah antara perkara yang boleh menyebabkan nilai halal dalam gaji menjadi rosak.

Keempat menjaga adab dan etika sepanjang waktu bekerja adalah satu elemen yang jelas mampu membentuk ‘roh’ pekerjaan yang cemerlang. Antara contoh adab dan etika kerja adalah seperti menyelesaikan tugas pada masa ditetapkan, komunikasi sopan, berpakaian bersih, kemas dan menutup aurat sesuai dengan pekerjaan, bertoleransi dan tidak berkira dalam kerja berpasukan, mewujudkan suasana kerja yang harmoni tanpa krisis dengan rakan sekerja, mematuhi undang-undang dan arahan majikan dan mematuhi prosedur dan kaedah yang betul semasa bekerja.

Kelima pekerjaan itu tidak menghalang seseorang untuk melaksanakan tanggungjawab beribadah kepada Allah dan perhubungan sesama insan lain. Dalam tempoh bekerja, tiada alasan untuk seseorang itu menidakkan tanggungjawabnya terhadap amal ibadahnya kepada Allah SWT, lebih-lebih lagi dalam urusan solat atau ibadah fardu lain yang disyariatkan Islam. Misalnya, ada antara kita suka menangguhkan waktu solat atau meninggalkannya terus atas alasan kesibukan kerja. Jika rosak nilai

atau hubungan kita dengan Allah SWT, maka bagaimana reda Allah akan sentiasa memayungi kita, terutama ketika sedang giat mencari rezeki kurniaan-Nya. Begitu juga dalam bekerja, kita harus berhati-hati dalam menjaga perhubungan kita sesama rakan sekerja, pihak atasan mahu pun mereka yang berada di bawah penyeliaan kita. Kehidupan kita ini bukan hanya tertakluk di tempat kerja saja, bahkan jua silaturahim itu berpanjangan ketika di luar waktu kerja. Maka, nilai

atau hubungan sesama manusia perlu sentiasa juga dipelihara di tempat kerja.

Penulis Pensyarah Kanan, Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.