Pogba kembali cergas: Solskjaer PENAWAR ‘DOSA’ KLOPP

Harian Metro - - Arena - AFP

Manchester: Paul Pogba kembali cergas untuk menyertai Manchester United bertemu Tottenham dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi Isnin nanti, kata pengendali sementara kelab itu, Ole Gunnar Solskjaer.

Pemain tengah Perancis itu kembali berlatih bersama rakan sepasukan di kem latihan di Dubai minggu ini selepas pulih daripada kecederaan ketika kemenangan 2-0 ke atas Newcastle 2 Januari lalu.

Pogba turut terlepas aksi Piala FA Sabtu lalu di mana United menewaskan Reading 2-0, tetapi mula berlatih di Emiriah Arab Bersatu.

“Dia nampak bagus, jadi dia akan kembali cergas. Dia masih mempunyai beberapa masalah tetapi dalam beberapa sesi terakhir nampak semakin baik, dia akan kembali cergas,” kata Solskjaer.

Solskjaer mengharungi permulaan sempurna sebagai pengendali United sejak menggantikan Jose Mourinho yang dipecat pada 19 Disember, memenangi kelima-lima perlawanan setakat ini.

Bekas penyerang United dari Norway itu, yang dipinjamkan oleh kelab negara asalnya Molde sehingga akhir musim ini, menjelaskan yang dia berminat untuk mengisi jawatan di Old Trafford itu secara tetap.

Bagaimanapun, lawannya hujung minggu ini, pengendali Tottenham Mauricio Pochettino, antara calon utama yang dikaitkan dengan jawatan ditinggalkan Mourinho itu.

Namun, Solskjaer menepis dakwaan yang mengatakan pertemuan dengan Spurs nanti adalah cabaran sebenar pertama sepanjang dia mengendali United, susulan kemenangan ke atas Cardiff, Huddersfield, Bournemouth, Newcastle dan Reading.

“Kami sudah diuji. Bertandang ke Newcastle adalah cabaran dan perlawanan pertama juga adalah ujian terhadap reaksi setiap orang. Perlawanan pertama di laman sendiri juga adalah satu ujian,” katanya. – AFP

 Tiga mata jumpa Brighton mampu henti kritikan ke atas bos Reds

Brighton, United Kingdom

Kritikan terhadap keputusan Jurgen Klopp untuk melakukan sembilan pertukaran sehingga menyebabkan Liverpool tersingkir daripada saingan Piala FA selepas tewas kepada Wolves, akan terhapus sekiranya kelab itu berjaya menjulang trofi Liga Perdana Inggeris buat pertama kali dalam tempoh 29 tahun, bermula di Brighton malam ini.

Klopp merehatkan Alisson Becker, Andrew Robertson, Virgil van Dijk, Trent Alexander-Arnold, Georginio Wijnaldum dan Sadio Mane ketika kekalahan di Molineux Isnin lalu, manakala Mohamed Salah dan Roberto Firmino hanya dimasukkan ketika permainan berbaki 20 minit.

Liverpool kini sudah tersingkir daripada kedua-dua kejuaraan domestik, tetapi ia tidak akan menjadi masalah besar sekiranya anak buah Klopp berjaya mengekalkan jurang empat mata ke atas Manchester City di puncak Liga Perdana.

Selepas bertandang ke Amex malam ini, Liverpool berdepan tiga perlawanan di laman sendiri menentang Leicester, Crystal Palace dan Bournemouth serta kunjungan ke West Ham sebelum aksi Liga Juara-Juara bertemu Bayern Munich.

Kelima-lima perlawanan liga itu membuka ruang buat Liverpool untuk mengutip mata penuh sekali gus mengukuhkan kedudukan di puncak selepas rekod tanpa kalah mereka musim ini dimusnahkan anak buah Pep Guardiola.

“Dua kekalahan berturut-turut, ia tidak bagus untuk kami tetapi ada masanya ia berlaku dalam semusim. Yang penting bagaimana anda bangkit selepas itu,” kata pemain tengah Liverpool James Milner.

“Sukar untuk mengharungi musim tanpa kesilapan. Saya rasa pada permulaan musim ini kami tidak bermain dengan baik tetapi masih mendapat keputusan yang bagus.

“Saya rasa anda sudah melihat karakter dalam skuad sejak beberapa tahun lalu, dan pemain-pemain yang kami ada, untuk tahu bagaimana kami akan bangkit.”

POGBA kembali berlatih bersama rakan sepasukan di kem latihan di Dubai.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.