Harian Metro

Chelsea perlu mantap bahagian tengah

-

London: Sekalipun Chelsea mengatasi Newcastle 2-1 awal pagi semalam, bos Maurizio Sarri menyatakan beliau perlukan pengganti di bahagian tengah jika mereka mahu terus memburu tiket automatik terakhir ke Liga Juara-Juara menerusi Liga Perdana Inggeris.

Menghuni tangga keempat liga, Blues menggunaka­n sepenuhnya kesempatan susulan kekalahan Arsenal di tangan West Ham kelmarin untuk membuka jurang enam mata di depan pasukan tangga kelima Gunners, yang akan ditemui mereka di Emirates minggu depan.

Chelsea bagaimanap­un berdepan masalah dengan spekulasi pemain meninggalk­an kelab itu. Willian, yang meledak gol kemenangan awal pagi semalam, yang dikaitkan dengan perpindaha­n lumayan ke Barcelona, manakala pemain tengah Cesc Fabregas baru saja meninggalk­an Stamford Bridge untuk menyertai Monaco.

“Anda sedia maklum Willian bagi kami pemain yang amat penting,” kata Sarri kepada wartawan selepas pemain Brazil berusia 30 tahun itu menghukum pasukan diancam penyingkir­an Newcastle.

“Kami perlukan pemain sayap, jadi kami perlukan Pedro, kami perlukan (Callum) Hudson-Odoi, sudah tentu kami perlukan Willian. Bagi kami, ketika ini dia seorang pemain yang terlalu penting.”

Di sebalik mempunyai ramai pemain, Sarri berkata, Chelsea kurang mantap di posisi utama seperti bahagian tengah.

“Seperti yang anda lihat, hari ini (awal pagi semalam) Jorginho bermasalah dan di bangku simpanan tiada pemain di posisinya, jadi saya perlukan pemain, saya perlu pelapis buat Jorginho,” ujar pengendali dari Itali itu.

“Kelab tahu mengenai pendapat saya, saya perlukan pemain di sana, tapi ia bergantung kepada keputusan kelab.”

Apapun, peluang Sarri untuk meyakinkan kelabnya supaya berbelanja, pengurus Newcastle, Rafael Benitez tidak menjangkak­an perubahan besar ketika jendela perpindaha­n pemain bulan ini.

“Dalam perlawanan menentang pasukan besar sebegini, kadangkala seorang pemain boleh mengubah segala-galanya,” Benitez memberitah­u wartawan selepas Newcastle terjerumus ke tiga pasukan tercorot dengan 18 mata, satu mata di belakang Cardiff City selepas 22 perlawanan. - Reuters

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia