Harian Metro

Tiada jaminan kualiti seimbang

- Naqib Nor Said naqib@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Tiadanya jaminan kualiti seimbang antara pasukan selain kos yang tinggi menjadikan cadangan memanjangk­an saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) agak mustahil direalisas­ikan.

Ketua jurulatih skuad hoki wanita kebangsaan, Dhaarma Raj Abdullah berkata, walaupun daripada sudut positif ia mungkin meningkatk­an kemeriahan pertanding­an, namun sebenarnya banyak perkara perlu diambil kira sebelum idea itu diusulkan kepada Konfederas­i Hoki Malaysia (MHC).

“Pada pandangan saya, sekiranya kita mahu mempunyai liga yang panjang seperti di Eropah, kita kena pastikan mendapat 10 pasukan yang kualitinya seimbang, yang mana sukar untuk berlaku.

“Jika dilihat untuk liga lelaki musim ini, hanya tiga daripada tujuh pasukan mempunyai kekuatan seimbang manakala yang lain jauh di belakang, bagi liga wanita hanya empat daripada tujuh pasukan... itupun sebab ada penyertaan kelab jemputan dari China (Liaoning Infinite Space).

“Ia tidak masuk akal untuk kita panjangkan liga sedangkan perlawanan yang ditawarkan tidak berkualiti,” katanya.

Selain itu, Dhaarma, 50, turut menggarisk­an kemungkina­n pasukan gagal menampung gaji pemain import bertaraf dunia bagi satu tempoh panjang.

“Sekarang ini liga kita benarkan setiap pasukan mengikat enam pemain import, kalau untuk tempoh panjang mungkin sukar bagi pemain import ini datang ke Malaysia kerana mereka juga mempunyai tawaran dari kelab-kelab Eropah.

“Malah, pasukan kita juga tidak mampu menampung gaji yang tinggi diminta pemain-pemain import ternama dunia ini... Cuba bayangkan sebulan gaji yang kini dibayar didarabkan kepada enam bulan, mampukah?” katanya.

Bercakap mengenai kesukaran pemain tempatan untuk merebut tempat dalam skuad kebangsaan gara-gara tiadanya pertanding­an kompetitif selepas tamatnya LHM, Dhaarma mempunyai pendapat tersendiri.

“Sepatutnya pemain tempatan kita perlu berani mencuba nasib di luar negara terutamany­a di benua Eropah seperti apa yang kini dibuat penyerang veteran, S Selvaraju yang beraksi di Itali.

“Kalau kita lihat pemain Pakistan dan India yang tidak mendapat tempat dalam skuad kebangsaan, mereka sentiasa mencuba dan berani meninggalk­an zon selesa untuk memastikan bentuk fizikal mereka berada dalam keadaan terbaik selain meningkatk­an prestasi.

“Saya cadangkan kepada pemain muda yang merasakan mempunyai potensi tinggi boleh gunakan saluran yang ada sebab ramai jurulatih kita mempunyai hubungan dengan kelab luar negara,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia