Pemilik dilarang bawa keluar anjing
Ipoh: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak melarang pemilik anjing di Taiping dan Bukit Gantang membawa keluar haiwan peliharaan mereka dari daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) tanpa kebenaran.
Larangan itu susulan keputusan kerajaan negeri mewartakan daerah berkenaan sebagai kawasan jangkitan penyakit anjing gila atau rabies.
Pengarah JPV negeri, Dr Ahmad Shafri Hassan berkata, beberapa langkah perlu dipatuhi apabila sesuatu kawasan itu diisytiharkan sebagai kawasan jangkitan penyakit rabies.
Katanya, langkah itu termasuk larangan membawa keluar mana-mana anjing dari mukim Taiping dan Bukit Gantang tanpa kebenaran daripada Pengarah JPV negeri.
“Pemilik atau mana-mana orang yang bertanggungjawab terhadap anjing dalam kedua-dua mukim berkenaan hendaklah menyimpan haiwan itu di bawah kawalan ketat dengan mengurung dalam kawasan tertutup.
“Pemilik juga perlu mengikat haiwan berkenaan dengan selamat menggunakan rantai, tali pintal atau kulit pada leher,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Dr Ahmad Shafri berkata, mana-mana anjing ditemui dalam kawasan jangkitan tanpa mematuhi langkah-langkah ditetapkan akan berdepan risiko dilupuskan.
Beliau berkata, seperti yang termaktub dalam Perintah Pemvaksinan Pencegahan Penyakit Anjing Gila, semua anjing berumur tiga bulan dan ke atas berada dalam kedua-dua mukim ini hendaklah diserahkan kepada JPV untuk disuntik vaksin.
Menurutnya, mengikut Akta Binatang 1953 (Semakan 2006) dan (Pindaan) 2013, mana-mana pemilik anjing didapati tidak mematuhi langkah kawalan itu boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau hukuman penjara sehingga tiga bulan.
“JPV amat mengharapkan kerjasama orang ramai di kedua-dua mukim ini dengan memastikan anjing peliharaan mereka mendapat suntikan vaksin rabie.
“Oleh itu semua pemilik diminta mengurung haiwan peliharaan termasuk kucing bagi mengelakkan berlakunya gigitan daripada anjing berkeliaran dikhuatiri sudah dijangkiti rabies,” katanya.
Beliau berkata, pemantauan sentiasa dilakukan di pintu masuk antarabangsa Sempadan Malaysia-Thailand di Kedah