Harian Metro

Lelaki naik motor jual donut 10 sen sebiji

-

Kuala Terengganu: “Saya berniaga sambil beramal. Jual murah kerana saya memahami kesempitan hidup orang yang mempunyai keluarga besar,” kata Idham Syafiq Darmilus, 31, peniaga donut 10 sen ketika ditemui di Jalan Sultan Ismail, malam kelmarin.

Perniagaan donut yang dijalankan Idham tular di media sosial selepas bapa kepada empat anak itu berniaga donut dengan motosikal, selain hanya mengenakan harga 10 sen bagi sebiji kuih itu.

Idham berkata, dia gembira dapat menjalanka­n perniagaan sambil membantu meringanka­n beban dialami orang ramai.

“Saya daripada keluarga yang susah dan sekarang juga masih susah, saya sangat memahami perasaan orang susah.

“Apabila saya menjual donut dengan harga murah, ia secara tidak langsung membantu pelanggan yang mempunyai anak ramai.

“Kalau beli RM2 sudah dapat 20 biji donut, cukup untuk mereka yang mempunyai ramai anak,” katanya yang tinggal di Kampung Jalan Banggol.

Menurutnya, dia berniaga donut sejak 2016 di Kampung Telipot dan mempunyai gerai sendiri dengan jualan sebanyak 1,000 hingga 1,500 biji donut sehari.

“Namun, gerai itu diambil semula oleh pemiliknya dan saya terpaksa berpindah ke Jalan Banggol dan bekerja di kedai makan bapa di situ.

“Saya berniaga donut dengan motosikal di Jalan Sultan Ismail ini sejak seminggu lalu walaupun donut dijual murah berbanding peniaga lain, tetapi saya tetap tidak berkomprom­i soal kualitinya.

“Saya bersyukur kerana donut saya laris dan dalam tempoh setengah jam sahaja sebanyak 400 hingga 500 biji donut terjual,” katanya.

Menurut Idham, isteri, Esah Ali, 35, dan empat anak berusia tujuh bulan hingga 15 tahun terpaksa tinggal di rumah bapa mentuanya di Dungun untuk sementara waktu.

Katanya, buat masa sekarang dia sedang mengumpul modal untuk menyewa rumah dan membuka gerai donut sendiri untuk membawa ahli keluargany­a tinggal bersama.

“Keyakinan saya ialah apabila kita meringanka­n beban orang lain dengan niat yang ikhlas, Allah akan bantu berikan kemudahan dalam segala kerja yang dilakukan,” katanya.

 ??  ?? IDHAM menunjukka­n donut 10 sen yang dijualnya di Jalan Sultan Ismail.
IDHAM menunjukka­n donut 10 sen yang dijualnya di Jalan Sultan Ismail.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia