Harian Metro

MAUT TERCAMPAK 3 METER

- Erika George cnews@nstp.com.

Seorang pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu maut selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Batu 16 Jalan Bintulu - Miri, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang, Jacklyn Sunggau Micheal, 13, berasal dari Rumah Panjang Mutu, di sini, melintas jalan sebelum dirempuh kenderaan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkua­saan

Polis Trafik Sarawak, Superinten­den Alexson Naga Chabu berkata, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan teruk di kepala.

“Impak rempuhan menyebabka­n mangsa tercampak sejauh tiga meter, manakala kenderaan 4WD terbabit yang dinaiki tiga penumpang terbabas ke bahu jalan.

“Bagaimanap­un, pemandu dan penumpangn­ya dilaporkan tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Katanya, siasatan terperinci dijalankan mengikut Akta Pengangkut­an Jalan (APJ) 1987 bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Bintulu bagi tujuan bedah siasat,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau menasihati orang ramai, khususnya pemandu kenderaan agar sentiasa mematuhi had kelajuan yang ditetapkan, terutama ketika melalui kawasan kediaman.

“Setiap pengguna jalan raya harus sentiasa berhati-hati ketika melalui kawasan sekolah serta waktu peralihan sesi persekolah­an sama ada sesi pagi atau petang.

“Ia adalah waktu kemuncak apabila ramai murid sekolah menyeberan­gi jalan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia