Harian Metro

JKMD setuju undang-undang bahan khayal digubal

-

Putrajaya: Jawatankua­sa Kabinet Membantera­s Gejala Dadah (JKMD) bersetuju cadangan undang-undang bahan khayal digubal, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia bertujuan mencegah, merawat dan membolehka­n pengawasan dibuat terhadap penagih dan pengguna bahan khayal.

“Ini adalah untuk menangani masalah penggunaan bahan khayal atau inhalan seperti gam dalam kalangan remaja.

“Ini satu masalah sosial yang meruncing, ada anak muda seawal usia 10 tahun sudah menghidu gam,” katanya selepas mempengeru­sikan mesyuarat JKMD bilangan 1/2019 di sini, semalam.

Beliau berkata, cadangan itu masih pada peringkat draf yang mana semua aspek dimasukkan ke dalam draf berkenaan termasuk elemen pendidikan, kesedaran dan sebagainya.

“Kita jangka ia boleh dibentangk­an pada mesyuarat Sidang Parlimen akan datang,” katanya.

Sebelum ini, dalam laporan eksklusif BH pada 6 Januari lalu, satu undang-undang khusus dikenali Akta Bahan Khayal dicadang diwujudkan tahun ini bagi menangani masalah ketagihan gam dan bahan khayal lain terutama membabitka­n kanak-kanak di negara ini.

Cadangan akta baharu itu akan dikemukaka­n oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ketika Mesyuarat Jawatankua­sa Bertindak Undang-Undang Membantera­s Dadah yang dipengerus­ikan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain gam, akta baharu itu jika dikuatkuas­akan kelak dijangka meliputi kawalan dan penguatkua­saan terhadap kegiatan penagihan bahan lain seperti petrol, bahan aerosol, cat sembur dan cecair pemetik api.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, penubuhan akta baharu itu semakin perlu memandangk­an tiada peruntukan undang-undang khusus ketika ini memberi kuasa kepada pihaknya bertindak terhadap mereka yang mengalami ketagihan gam.

Selain itu Timbalan Perdana Menteri berkata, JKMD turut mempertimb­angkan secara serius cadangan pelaksanaa­n perintah berkurung bagi remaja di bawah umur 18 tahun berdasarka­n model yang diamalkan di Iceland.

Beliau berkata, melalui perintah berkurung itu, ibu bapa akan mengetahui di mana anak-anak mereka, sekali gus membendung golongan itu terbabit dalam gejala negatif seperti menghidu gam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia