Harian Metro

Tangan membeku dan sakit!

-

Kuala Lumpur: Tangan membeku dan sakit. Itu merupakan pengalaman seorang pelajar Malaysia di Iowa State University, Amerika Syarikat berhadapan suhu bawah sifar ketika negara itu dilanda cuaca dingin melampau akibat Polar Vortex.

Wan Abdul Rahman Wan Azhar, 21, pelajar Ijazah Pengurusan Rantaian Bekalan berkata, pengalaman­nya berhadapan dengan keadaan sejuk melampau itu ketika keluar dari rumah sewanya ke perhentian bas untuk ke universiti pada Rabu lalu.

Penuntut tahun pertama dari Bukit Jelutong, Selangor itu berkata, suhu ketika itu mencecah kira-kira -40 darjah Celsius.

“Saya tak pakai sarung tangan lagi, walaupun ada di dalam poket baju sejuk kerana bergegas takut tertinggal bas. Tidak sampai lima minit, tangan dah rasa macam beku dan sakit,” katanya ketika dihubungi semalam.

Bagaimanap­un, dia menjelaska­n sakitnya itu tidak berlarutan.

Wan Abdul Rahman berkata, pada hari tersebut, pihak pengurusan Iowa State University telah mengumumka­n semua kelas pengajian dibatalkan ekoran cuaca ekstrim, namun katanya, dia masih perlu ke universiti berkenaan kerana membuat kerja sambilan di dewan makan.

Dilaporkan sekurang-kurangnya 12 maut di beberapa negeri di Amerika Syarikat termasuk di Chicago, Michigan, Iowa, Indiana dan Illinois susulan cuaca sejuk melampau yang melanda negara itu.

Seorang lagi penuntut di universiti itu, Muhamad Imran Maszeri, 21, berkata, dia terpaksa memakai empat lapisan pakaian bagi memanaskan badan untuk keluar ke universiti dan mendapatka­n barang keperluan harian.

Penuntut Ijazah Kejurutera­an Perisian itu berkata, pihak polis menasihatk­an penduduk supaya mengelak berada di luar rumah jika tiada urusan penting kerana cuaca berkenaan boleh mengakibat­kan gigitan fros.

“Apabila tidur terpaksa pakai beg tidur dengan comforter untuk tutup satu badan, alat pemanas pula dinaikkan hingga 30 darjah celsius daripada 20 darjah celsius kebiasaann­ya,” kata penuntut dari Bandar Kinrara, Puchong itu sambil menambah suhu pada semalam adalah 6 darjah celsius.

Bagaimanap­un, katanya dia dan lima rakan serumahnya tidak mengalami sebarang masalah kesihatan ekoran keadaan cuaca tersebut.

Dalam pada itu, Atase Pendidikan Education Malaysia Chicago, Siti Maisarah Roslan, 36, berkata, pihak berkuasa Chicago telah memberikan amaran awal berhubung kejadian Polar Vortex bagi membolehka­n penduduk mengambil langkah berjaga-jaga.

Saya tak pakai sarung tangan lagi, walaupun ada di dalam poket baju sejuk kerana bergegas takut tertinggal bas. Tidak sampai lima minit, tangan dah rasa macam beku dan sakit”

Wan Abdul Rahman

 ??  ?? ANGGOTA bomba memeriksa di kawasan cuaca sejuk melampau.
ANGGOTA bomba memeriksa di kawasan cuaca sejuk melampau.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia