Harian Metro

Tak sempat potong

- Noor Hidayah Tanzizi am@hmetro.com.my

 Wanita maut selepas kereta bertembung bas

Gagal memotong menyebabka­n seorang pemandu kereta maut dan dua penumpangn­ya termasuk seorang kanak-kanak parah selepas kenderaann­ya bertembung dengan bas ekspres di Kilometer 14 Jalan Sitiawan-Teluk Intan berhampira­n Batu 14 Lekir di sini, malam kelmarin.

Pemandu Proton Wira Aeroback, Ramlah Ahmad, 56, menghembus­kan nafas terakhirny­a ketika menerima rawatan di Hospital Seri Manjung (HSM) pada jam 12.20 tengah malam.

Penumpang hadapan kereta berkenaan, seorang remaja perempuan berusia 18 tahun cedera di mata kiri manakala penumpang belakang yang juga kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun patah kaki kanan.

Bagaimanap­un, pemandu bas ekspres berusia 45 tahun bersama 20 penumpangn­ya tidak mengalami kecederaan dalam kejadian jam 9.12 malam itu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 10.10 malam.

“Siasatan awal mendapati kereta dari arah Teluk Intan menghala ke Sitiawan manakala bas berkenaan dari arah bertentang­an.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan dipercayai memotong kenderaan lain di hadapannya sebelum bertembung dengan bas terbabit,” katanya ketika dihubungi, semalam. Menurutnya, ketiga-tiga mangsa dikejarkan ke HSM untuk rawatan lanjut sebelum pemandu kereta berkenaan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital itu manakala dua penumpang masih dirawat di hospital sama.

“Mayat pemandu kereta dibawa ke Unit Forensik HSM untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.14 malam.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati dua mangsa sudah dikeluarka­n dan dikejarkan ke HSM.

“Seorang lagi yang masih terperangk­ap dalam kenderaan dalam keadaan parah sebelum pasukan bomba mengeluark­an mangsa itu,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan di situ untuk tindakan lanjut sebelum operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada jam 10.40 malam.

 ??  ?? KEADAAN kereta dipandu Ramlah yang remuk dalam kemalangan dengan sebuah bas di Batu 14 Lekir. Gambar kecil, keadaan bas yang dirempuh.
KEADAAN kereta dipandu Ramlah yang remuk dalam kemalangan dengan sebuah bas di Batu 14 Lekir. Gambar kecil, keadaan bas yang dirempuh.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia