Harian Metro

Masih ramai sanggup jadi ‘keldai dadah’

-

Jaya: Mudah gelap mata dengan imbuhan wang lumayan menyebabka­n masih ramai rakyat negara ini sanggup menjalanka­n misi maut sebagai ‘keldai dadah’ untuk menyeludup dadah ke luar negara.

Difahamkan, mereka akan menerima bayaran antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi setiap perjalanan menyeludup keluar dadah berkenaan dari negara ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Zulkifli Ali berkata, terdapat peningkata­n jumlah keldai dadah warga Malaysia yang ditahan di luar negara.

Menurutnya, mereka ini secara sukarela menjadi keldai dadah kerana imbuhan yang ditawarkan adalah lumayan.

“Keldai dadah ini mempunyai dua modus operandi dengan salah satunya mereka membawa keluar dadah dari Malaysia untuk diseludup ke negara lain.

“Satu lagi modus operandi ialah mereka akan ke luar negara dan mengambil bekalan dadah negara terbabit sebelum dihantar ke negara ketiga,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya disini, semalam.

Zulkifli berkata, siasatan mendapati Malaysia dijadikan negara oleh sindiket antarabang­sa untuk merekrut keldai dadah.

“Tahun lalu sahaja seramai 23 rakyat Malaysia ditahan di Hong Kong kerana menjadi keldai dadah, dan angka ini amat membimbang­kan.

“Individu yang menjadi keldai dadah adalah lelaki dan wanita di mana mereka secara sukarela menjadi keldai dadah kerana faktor kewangan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia