Harian Metro

Cekup pencuri kasut berjenama

-

Bintulu: Tiga suspek dengan seorang daripadany­a wanita tidak sempat melaram kasut berjenama yang mereka curi dari sebuah rumah di Jalan Durian Belanda, di sini, awal pagi Khamis lalu, apabila mereka ditahan hanya sehari selepas melakukan jenayah itu.

Semua suspek berusia antara 27 hingga 39 tahun itu ditahan di sebuah pondok di Kampung Baru, di sini, kira-kira jam 11.30 malam kelmarin dan semua tujuh pasang kasut berjenama bernilai lebih RM4,000 yang mereka curi ditemui semula.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superinten­dan Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya berjaya mengesan semua suspek berdasarka­n imej dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa.

“Berpanduka­n kepada rakaman CCTV itu, pihak kami mengenal pasti suspek dan berusaha mengesan mereka.

“Selepas berjaya mengecam wajah suspek, sepasukan anggota polis melakukan penjejakan, seterusnya menyerbu sebuah pondok di Kampung Baru dan berjaya menahan semua suspek terbabit,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaa­n lanjut di dalam pondok berkenaan berjaya menemui semula semua kasut dilaporkan hilang dari kediaman sebuah keluarga di Jalan Durian Belanda itu.

Dalam rakaman CCTV pada awal pagi Khamis lalu, dua suspek menaiki motosikal didapati menunggu di luar rumah terbabit, manakala seorang lagi memanjat pagar rumah mangsa.

“Suspek yang menceroboh halaman rumah itu kemudianny­a melarikan tujuh pasang kasut yang diletakkan di rak kasut di hadapan rumah keluarga terbabit,” katanya.

Katanya lagi, mangsa yang menyedari kehilangan kasut itu membuat laporan polis jam 8 pagi, Khamis lalu.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan semua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan,” katanya.

 ??  ?? KASUT berjenama yang dicuri dari sebuah rumah di Jalan Durian Belanda ditemui semula di Kampung Baru.
KASUT berjenama yang dicuri dari sebuah rumah di Jalan Durian Belanda ditemui semula di Kampung Baru.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia