Harian Metro

Buru siapa saja hina Agong

-

Kota Kinabalu: Polis sudah diarah memburu sesiapa saja yang memuat naik kata-kata atau kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong dalam laman sosial tanpa mengira latar belakang mereka.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, ia termasuk yang belum dilaporkan kepada polis tetapi dikesan memuat naik kenyataan berunsur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Kalau ada, kita akan buru orang ini, kita akan cari dan saya yakin polis menjalanka­n tugas mereka untuk memburu orang seumpama ini, kita ada undang-undang.

“Yang di-Pertuan Agong adalah lambang (negara) kita, kalau menghina (baginda), kita tahu cukup jelas dalam undang-undang memang perlu diambil tindakan.

“Kita tidak berkomprom­i dalam soal ini, tidak kira siapa dia, tanpa mengira politik, bangsa dan warna kulit, undang-undang tetap undang -undang, kita perlu hormati undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Skuad ‘Realisasi Aspirasi Kesejahter­aan Komuniti’ anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Kampung Darau, di sini, semalam.

Mohd Azis mengulas tindakan pihak berkuasa terhadap penyebar kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dalam laman sosial Facebook, ketika istiadat pertabalan baginda, Khamis lalu.

Sementara itu, mengulas tindakan orang awam melakukan ugutan terhadap individu yang didakwa membuat kenyataan menghina Agong di Kuantan, kelmarin, beliau berkata, tindakan itu hanya mengeruhka­n lagi keadaan.

“Negara kita ada undang-undang, jangan membelangk­angi undang-undang, jangan datang ke sana marah dengan individu itu seolah-olah kita pegang undang-undang, ini tidak boleh dilakukan, serahkan kepada polis kerana laporan sudah dibuat.

“Kita juga sudah menangkap orang yang mengeluark­an kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong itu dan menyerahka­n kepada polis untuk mengambil tindakan selanjutny­a.

“Bukan tugas orang awam membuat ugutan kerana ia hanya mengeruhka­n lagi keadaan, malah menyebabka­n pergaduhan, kita tidak mahu perkara ini berlaku,” katanya.

Kelmarin, 20 badan bukan kerajaan (NGO) di Kuantan membuat laporan polis terhadap seorang pengguna laman sosial Facebook yang menggunaka­n nama akaun ‘Desmond Yongkor’ kerana memuat naik kata-kata menghina Yang di-Pertuan Agong.

Selain pengguna Facebook berkenaan, laporan polis berasingan turut dibuat terhadap seorang lagi pengguna Facebook di Kuantan selepas menulis dalam ruangan komen dengan kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia