Harian Metro

12 penuntut kita di Townsville dilapor selamat

-

Kuala Lumpur: Seramai 12 penuntut Malaysia di Universiti James Cook di Townsville dilaporkan selamat berikutan bencana banjir di wilayah Queensland Utara, Australia itu.

Menurut Atase Pendidikan Konsulat Malaysia Sydney, Kartini Tajul Urus, jumlah rakyat Malaysia di kawasan terbabit antara 40 hingga 50 orang dan mereka kini terjejas namun selamat serta dinasihatk­an menghubung­i Perkhidmat­an Kecemasan Negeri (SES) sekiranya memerlukan bantuan ke pusat pemindahan banjir.

“Susulan kejadian ini, satu kumpulan WhatsApp kecemasan antara Pejabat Konsulat Malaysia Sydney (EM Australia, MARA Australia) hasil inisiatif rakyat Malaysia yang menetap di Townsville diwujudkan bagi memantau keadaan dan mendapatka­n maklumat terkini berhubung situasi banjir,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Kelmarin, pihak berkuasa Townsville, Queensland memberi amaran penduduk berhubung kemungkina­n pintu air di Empangan River Ross yang akan terbuka secara automatik sekiranya paras air melebihi had maksimum susulan jumlah air hujan yang berterusan.

Kemudian kira-kira jam 8 malam waktu tempatan (6 petang waktu Malaysia), pintu air empangan terbuka dan kawasan yang terjejas adalah di Rosslea, Hermit Park, Railway Estate, Townsville City, Oonoonba, Idalia, Cluden, West End, Rowes Bay, Garbutt, Aitkenvale, Cranbrook, Currajong, Mysterton, Pimlico, Mundingbur­ra, Douglas, Annandale, Kirwan dan Thuringowa Central & South Townsville.

Berikutan itu juga Lapangan Terbang Townsville juga ditutup.

Menurut kenyataan EMA itu juga, Pejabat Pesuruhjay­a Tinggi Malaysia di Canberra turut menasihatk­an semua rakyat Malaysia terbabit sekiranya memerlukan bantuan konsular berhubung dengan pegawai terbabit.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia