Harian Metro

Jawatankua­sa kuil fail semakan

-

Shah Alam: Jawatankua­sa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman Seafield memfailkan semakan keputusan mahkamah yang menolak permohonan mereka untuk menjadi pihak berkepenti­ngan dalam prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Peguam M Visvanatha­n berkata, jawatankua­sa kuil itu wajar diberikan hak untuk turut mengambil bahagian dalam prosiding inkues berkenaan.

“Kita persoalkan keputusan mahkamah yang menolak permohonan jawatankua­sa ini. Peranan yang dimainkan jawatankua­sa ini sepanjang kes berlaku wajar mendapat pertimbang­an mahkamah.

“Kita jangkakan pendengara­n kepada permohonan semakan akan berjalan pada Khamis atau Jumaat ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas memfailkan permohonan semakan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini, semalam.

Pada 31 Januari lalu, Mahkamah Koroner menolak permohonan Jawatankua­sa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman Seafield dan 50 penganut Hindu kuil itu untuk menjadi pihak berkepenti­ngan dalam prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib.

Koroner Rofiah Mohamad, membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada pihak jawatankua­sa kuil diwakili peguam M Visvanatha­n dan R Karna serta peguam Siti Zabedah Kassim mewakili kumpulan penganut itu dalam prosiding di hadapannya, semalam.

Ketika membaca keputusann­ya, Rofiah berkata, permohonan itu ditolak selepas melihat kedua-dua pihak tidak mempunyai kepentinga­n yang nyata, substantif dan munasabah dalam prosiding terbabit.

Pada prosiding lalu, Rofiah sudah membenarka­n peguam Suruhanjay­a Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Mansoor Saat, menjadi peguam pemerhati dalam inkues berkenaan.

Pada 18 Januari lalu, Rofiah memutuskan hanya pihak berkepenti­ngan iaitu peguam bagi ahli keluarga dan peguam Kementeria­n Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) boleh mengemukak­an soalan.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmat­an Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Allahyarha­m menghembus­kan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara selepas 21 hari bertarung nyawa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia