Harian Metro

Suami isteri lambung bayi ditahan

-

Kuala Lumpur: Polis menahan suami isteri warga Russia yang disyaki melambung bayi perempuan mereka sewaktu membuat persembaha­n muzik di Bukit Bintang di sini, dipercayai bagi tujuan mengutip wang.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, suspek ditahan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi ketika membuat persembaha­n di Jalan Raja Abdullah di sini, jam 3.30 petang, semalam.

Katanya, penahanan suspek berusia 27 dan 28 tahun itu dilakukan susulan maklumat awam berhubung kegiatan pasangan berkenaan.

“Sewaktu ditahan bayi perempuan berusia empat bulan turut bersama pasangan itu. Mereka didapati masuk melalui pintu sempadan Malaysia-Thailand, Jumaat lalu.

“Kegiatan itu dilakukan bagi mengutip dana bagi menampung perbelanja­an mereka untuk melancong. Perkara sama turut dilakukan sewaktu mereka berada di Thailand,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Op Selamat 14 sempena Tahun Baru Cina di Plaza Tol Jalan Duta di sini, semalam.

Mazlan berkata, pihaknya turut memaklumka­n kedutaan Russia di negara ini berhubung penahanan suspek terbabit.

“Kami memaklumka­n kepada pihak kedutaan Rusia bagi menjamin kebajikan bayi itu susulan penahanan ibu bapanya.

“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat, esok untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, seorang pelancong asing melambung bayi dipercayai anaknya sendiri dalam kejadian di Bukit Bintang.

Malah, video perbuatan berbahaya pelancong lelaki itu dirakam seorang lelaki yang kemudian dikongsi dalam akaun Facebook miliknya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia