Harian Metro

Cemas disamun 2 lelaki berparang

-

Petaling Jaya: Seorang wartawan akhbar berbahasa Cina berdepan detik cemas apabila disamun dua lelaki bersenjata­kan parang yang melarikan kereta dan telefon bimbit miliknya dalam kejadian di Seksyen 17, Damansara di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.05 tengah malam, mangsa, Yap Hui Ping, 25, yang berseorang­an, bagaimanap­un tidak diapa-apakan suspek yang sebelum itu datang menaiki van berwarna putih.

Hui Ping berkata, kejadian berlaku kurang lima minit apabila dia keluar bagi mengambil telefon bimbitnya yang tertinggal di dalam kereta Perodua Myvi miliknya.

Katanya, ketika berada di hadapan kereta, dia menyedari kehadiran van terbabit yang dipandu perlahan, namun tidak mengesyaki perkara mencurigak­an.

“Ketika itu memang saya perasan van berkenaan lalu dan dibawa perlahan, namun tidak mengesyaki mereka ada niat jahat.

“Tiba-tiba seorang lelaki membuka pintu van dan berlari ke arah saya sambil menunjukka­n parang menyebabka­n dia ketakutan serta tidak mampu berbuat apa-apa,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, suspek melarikan kereta Perodua Myvi miliknya selain merampas telefon bimbit jenama Xiaomi. “Saya tidak sempat melarikan diri dan suspek merampas kunci serta melarikan kereta bersama telefon bimbit.

“Justeru, saya memohon jasa orang ramai yang melihat kereta Perodua Myvi berwarna putih dengan nombor pendaftara­n WA 9010 K untuk melaporkan­nya kepada polis segera,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superinten­dan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya giat mengesan suspek yang melarikan kereta mangsa.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia