Harian Metro

Soon Huat tak gentar

- Ferzalfie Fauzi ferzalfie@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Tidak gentar, kita lawan, luah pemain beregu campuran negara, Goh Soon Huat yang berjanji akan memberi tentangan kepada mana-mana gandingan termasuk rakan senegara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Dia yang berganding­an bersama Shevon Lai dan kini ini menghuni ranking ke-12 dunia, mengakui memang berhasrat untuk merasai nikmat beraksi di temasya berkenaan.

“Memang kita meletakkan sasaran untuk melayakkan diri ke Olimpik. Selepas ini semua persiapan kita memang terarah kepada misi berkenaan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Menurut Soon Huat, selepas bermulanya pengiraan mata untuk melayakkan diri ke Tokyo, mereka akan terus memberikan persembaha­n sebaik mungkin namun dalam tempoh beberapa bulan sebelum itu harus melakukan persiapan seperti dirancang.

“Kita ada beberapa bulan lagi melakukan persediaan untuk memasuki fasa kelayakan Olimpik. Bukan bermakna selepas itu kita baru serius, bermula dari sekarang pun kita sudah menganggap setiap kejohanan sangat penting.

“Pada masa sama memang kita sudah merancang persiapan khas untuk melayakkan diri ke Olimpik. Program latihan juga akan bertukar selepas ini bagi membantu kita untuk bermain dengan lebih baik selepas ini,” katanya yang berusia 29 tahun.

Mengenai pasangan senegara (Peng Soon-Liu Ying), bagi kami kita akan sama-sama bersaing, namun tidak kira siapa yang layak, kedua-duanya tetap mewakili Malaysia,” kata pemain kelahiran Melaka itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia