Harian Metro

Tolak cuti demi tugas digalas

- Zulfaizan Mansor zulfaizan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Kami kerja dibayar gaji, jadi kerja tetap kerja. Lagipun latihan dekat saja, bukan dekat Jengka (Pahang),” kata penjaga gol FELDA United, Norazlan Razali yang menolak ‘bonus’ cuti dua hari yang diberikan jurulatih skuad The Fighters, Nidzam Jamil sebagai menyambut kelahiran cahaya mata keduanya, kelmarin.

Norazlan ditawarkan cuti itu selepas memperagak­an aksi cemerlang ketika membantu pasukannya mencuri satu mata selepas mengikat Selangor 1-1 pada aksi pertama Liga Super di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.

Bagi bekas penjaga gawang Red Giants itu, dia menganggap komitmen terhadap pasukan juga menjadi antara perkara yang paling penting dalam kerjayanya.

“Faktor baru mendapat cahaya mata bukan faktor utama saya beraksi cemerlang, ia rezeki daripada Allah dan saya hanya berusaha menjalanka­n tugas sebagai penjaga gawang.

“Alhamdulil­lah saya berjaya mengekang asakan lawan. Semua pemain cemerlang, bukan saya saja. Bantuan rakan sepasukan buat saya lebih bersemanga­t ditambah pula dengan keadaan sekeliling yang penuh emosi buat saya sedih,” katanya.

Walaupun bolos menerusi rembatan jarak jauh daripada pemain import baharu Selangor, Antonio German pada minit ke-41, Norazlan beraksi cemerlang apabila menyelamat­kan beberapa percubaan berbahaya terutama dalam 15 minit terakhir.

Kapten The Fighters, Hadin Azman muncul penyelamat skuad Nidzam apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-69.

Terdahulu, Nidzam pada sidang media selepas perlawanan menjelaska­n akan memberi cuti dua hari kepada Norazlan untuk meluangkan masa bersama keluarga.

Mengakui berpuas hati dengan semangat melawan anak buahnya, Nidzam tetap menuntut aksi lebih konsisten untuk The Fighters mengharung­i aksi yang lebih mencabar.

 ??  ?? AKSI cemerlang Norazlan ketika menentang Selangor, kelmarin.
AKSI cemerlang Norazlan ketika menentang Selangor, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia