Harian Metro

Impian negara bebas

-

Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang dilancarka­n Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini dilihat sebagai langkah kesinambun­gan kepada inisiatif dan komitmen kerajaan memerangi dan membantera­s gejala rasuah, salah guna kuasa serta penyelewen­gan secara berterusan dan habis-habisan. Pelan ini akan menggantik­an Pelan Integriti Nasional (PIN) dan Bidang Keberhasil­an Utama Negara (NKRA) berkaitan rasuah dalam usaha kerajaan menetapkan matlamat jelas untuk mencapai visi nasional sebagai negara bebas rasuah dan mempunyai nilai integriti tinggi.

Menurut Perdana Menteri, pelan ini menjelaska­n bahawa rakyat Malaysia tidak akan menerima amalan rasuah kerana ia satu amalan keji dan menjijikka­n serta menjadi satu pernyataan yang tegas daripada kerajaan sekarang, iaitu pesalah yang lalu telah dan sedang kita kejar dan akan kita hukum manakala perasuah sekarang dan masa depan akan berdepan tindakan lebih tegas.

Secara umumnya pelan ini memberi tumpuan kepada enam bidang utama iaitu perolehan awam, penguatkua­saan undang-undang, tadbir urus politik, tadbir urus korporat, pentadbira­n sektor awam serta perundanga­n dan kehakiman. Enam strategi digariskan untuk enam bidang keutamaan itu termasuk memperting­katkan keberkesan­an dan ketelusan dalam perolehan kerajaan, menginstit­usikan kredibilit­i agensi penguatkua­saan undang-undang, memperkuku­h akauntabil­iti dan integriti politik, memupuk tadbir urus baik dalam entiti korporat, memperkuku­h kecekapan penyampaia­n perkhidmat­an dan memperting­katkan kredibilit­i sistem perundanga­n dan kehakiman. Di samping itu terdapat 115 inisiatif yang sudah dirancang bagi menjadikan negara ini bebas daripada gejala rasuah.

Atas kertas pelan ini kelihatan sangat komprehens­if dan ideal untuk mencapai matlamat yang ditetapkan dalam tempoh lima tahun akan datang namun cabaran utama ialah dari aspek pelaksanaa­n dan penguatkua­saan. Hakikatnya sudah ada pelbagai pelan, inisiatif dan program yang dilaksanak­an selama ini bagi memberi kesedaran kepada rakyat agar tidak terjebak dalam gejala negatif ini namun kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewen­gan masih berleluasa malah tidak keterlalua­n untuk dikatakan terus meningkat dari semasa ke semasa dalam semua bidang dan sektor. Malah, tindakan tegas dari aspek penguatkua­saan oleh pihak berkuasa seperti Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi lain juga masih belum cukup untuk memerangi rasuah habis-habisan.

Jadi bukan mudah untuk mencapai impian negara bebas rasuah atau membina Malaysia bersih, ia memerlukan komitmen, iltizam dan kerjasama setiap individu rakyat Malaysia. Setiap seorang daripada kita perlu memainkan peranan tak kira kecil atau besar demi memerangi rasuah habis-habisan. Seperti kata Perdana Menteri ia perlu bermula daripada Perdana Menteri hingga ke guru tadika. Setiap kelompok masyarakat perlu memasang iltizam untuk katakan tidak kepada rasuah. Berdasarka­n analisis antara punca rasuah di negara ini ialah, kelemahan pentadbira­n, konflik kepentinga­n serta kelemahan kawalan dalaman dan ketidakpat­uhan. Manakala antara sektor yang paling cenderung kepada rasuah ialah, sektor perolehan, penguatkua­saan dan pentadbira­n.

Rasuah pada hari ini dilihat semakin menjadi trend dalam kalangan anggota masyarakat. Baik penerima mahupun pemberi kelihatan sudah tidak ada lagi perasaan malu, segan ataupun takut untuk melakukan perbuatan terkutuk tersebut. Jadi kita perlu utamakan inisiatif untuk mengubah mentaliti, gaya hidup, tabiat, sikap dan tingkah laku masyarakat kita. Ciri-ciri ini kebanyakan­nya sudah sebati dalam diri kita dan mungkin sejak kecil lagi. Maka usaha untuk menanam rasa benci kepada rasuah perlu dimulakan sejak dari kecil lagi. Ibu bapa terutama perlu memastikan anak-anak memahami apa itu rasuah dan kesan buruknya. Tanam rasa benci ini sejak kecil supaya mereka boleh amalkan dan budayakan nilai hidup yang berintegri­ti hingga ke akhir hayat mereka. Perkara sama juga perlu berlaku secara konsisten di peringkat sekolah. Elemen benci kepada rasuah perlu diterapkan guru kepada setiap anak murid. Buat kempen dan program secara berterusan supaya anak-anak faham dan jelas mengenai rasuah.

Kita sebagai individu juga perlu berusaha mengubah sikap, tingkah laku dan gaya hidup kita.

Janganlah kerana mahu hidup mewah kita sanggup gadaikan maruah diri dan integriti. Jangan mudah gelap mata dengan ganjaran yang ditawarkan. Ingat kuasa dan kedudukan yang ada pada kita itu satu amanah dan tanggungja­wab. Sedarlah harta boleh dijual beli tetapi maruah dan integriti khazanah diri yang tiada tolok bandingan. Jadi beranilah katakan tidak kepada rasuah.

Begitu juga harapan kita kepada anggota masyarakat agar dapat bertindak dengan lebih agresif dan proaktif dalam membantu pihak berkuasa memerangi apa jua bentuk rasuah, salah guna kuasa mahupun penyelewen­gan yang berlaku di sekeliling kita. Tidak salah dalam soal seperti ini kita menjaga tepi kain orang. Gunakan segala saluran yang ada untuk melaporkan dengan segera jika berlaku perkara tersebut di depan mata kita. Tindakan dan sikap kita yang buat tidak tahu, acuh tak acuh dan tidak peduli dengan apa yang berlaku akan mengeruhka­n lagi keadaan, akan menggalak lagi pelaku untuk bermaharaj­alela dan sedarlah ia satu perbuatan yang boleh disifatkan sebagai bersekongk­ol atau bersubahat dengan pelaku tersebut.

Dalam pada itu jika kita tidak mahu orang minta atau terima rasuah, kita juga perlu berani dan nekad untuk tidak memberi rasuah atau suapan. Tindakan anggota masyarakat yang suka memberi pelbagai suapan termasuk dalam bentuk barangan, hadiah dan pakej percutian bukan saja menggalakk­an lagi jenayah rasuah tetapi akan meruntuhka­n sama sekali nilai peradaban dan tatasusila masyarakat dan negara. Umpama apabila tiada penawaran, maka tidak akan ada permintaan, jadi janganlah kita tawarkan apa-apa untuk memperoleh sesutu keuntungan.

Pada masa sama aspek penguatkua­saan juga wajar terus diperkasak­an. Dengan adanya agensi baru seperti Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC) di samping SPRM, kita harap aspek pencegahan dan hukuman kepada pemberi dan penerima rasuah dapat terus dimantapka­n dari semasa ke semasa. Agensi terbabit perlu diberi kuasa sepenuhnya untuk bertindak dengan berani, bebas dan adil. Semua agensi yang terbabit juga perlu bekerja sebagai satu pasukan yang kuat agar dapat melaksanak­an semua inisiatif yang digariskan supaya dapat mencapai objektif dan strategi yang ditetapkan. Kita tidak mahu perancanga­n tinggal perancanga­n semata-mata tanpa pemantauan dan pelaksanaa­n yang sewajarnya. Ini termasuk menggunaka­n teknologi terkini bagi mencari mekanisme terbaik bagi membantera­s rasuah.

Secara keseluruha­nnya pelan ini dilihat cukup komprehens­if merangkumi setiap komponen masyarakat termasuk sektor korporat, awam dan juga ahli politik, jadi inilah masanya untuk kita menggemble­ng tenaga bagi membantera­s gejala rasuah secara besar-besaran. Walaupun impian menjadi negara bebas rasuah kelihatan sukar dan menghadapi banyak cabaran serta rintangan, namun yakinlah ianya tidak mustahil untuk dicapai. Semoga pelan ini merintis jalan ke arah merealisas­ikan impian tersebut.

Penulis Timbalan Pendaftar Fakulti Kejurutera­an Universiti Putra Malaysia

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia