Harian Metro

Bertemu selepas 28 tahun

- Adnan Ibrahim cnews@nstp.com.my

 Seramai 400 bekas pekerja Ladang Washington dibuka pada 1952 imbau kenangan lama

Selepas 28 tahun berpisah, kira-kira 400 bekas pekerja Ladang Washington bersama keluarga masing-masing bertemu semula pada Majlis Perjumpaan Bekas Penduduk dan Pekerja Ladang Washinton di ladang itu, baru-baru ini.

Pengerusi majlis perjumpaan itu, Assan Abu Bakar, 63, berkata, ladang itu dibuka pada 1952 dan menjadikan getah sebagai tanaman utama yang diusahakan 200 buruh dan pekerja am.

Bagaimanap­un, selepas 38 tahun menjadikan getah sebagai tanaman utama, pengurusan menukar tanaman kepada kelapa sawit menyebabka­n hampir semua pekerja meninggalk­an ladang itu dan membawa haluan masing-masing di sekitar Johor khususnya Kluang dan Simpang Renggam.

“Uniknya ketika itu, semua pekerja warga tempatan terutama Melayu serta India dan kami menjalani kehidupan penuh harmoni sebagai sebuah keluarga besar serta sering berkongsi kehidupan sama ada susah atau senang. “Apabila pertemuan keluarga besar ini berlaku, kita dapat melihat keakraban semua bekas pekerja seolah-olah perpisahan selama 28 tahun selama ini hanya berlaku semalam. “Apa yang menariknya semua ahli keluarga terutama bekas pekerja dan pasangan masing-masing dapat berbual mesra dan seronok mengimbau kenangan silam tanpa mengira kaum dan agama kerana kami sama-sama menempuh susah dan senang bersama ketika tinggal di perumahan ladang itu,” katanya.

Menurutnya, jawatankua­sa penganjur terdiri daripada tujuh bekas pekerja ladang berkenaan menghabisk­an masa tiga bulan untuk menghimpun­kan semua bekas pekerja melalui Facebook dan WhatsApp.

“Kami memohon maaf kepada rakan yang tidak dapat dihubungi, Insya-Allah kami akan mengadakan pertemuan pada masa akan datang.

“Pada masa sama, kami sedih apabila nama Ladang Washington yang menjadi tempat kami membesar kini ditukar kepada nama Ladang Simpang Renggam.

“Lebih mendukacit­akan apabila hampir keseluruha­n pekerja ladang itu terdiri daripada warga asing dan kehidupan mereka tidak sama seperti kami sebelum ini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia