Harian Metro

‘Hati saya tersentuh’

- Noor Hidayah Tanzizi cnews@nstp.com.my

 Ahli perniagaan sumbang kereta Iswara untuk ibu bawa anak istimewa ke hospital

“Niat saya ikhlas mahu membantu mana yang termampu kerana kisah Haslizah Ibrahim yang memerlukan kereta untuk membawa anaknya mendapatka­n rawatan menyentuh hati saya,” kata ahli perniagaan di Manjung yang hanya mahu dikenali sebagai Hazwan, 30.

Hazwan bermurah hati menyumbang­kan Proton Iswara terpakai untuk Haslizah membawa anak istimewany­a, Nour Rabiatul Adawiyyah Iman Mohamad Fauzi, 9, dari kediaman mereka di Gunung Semanggol, Bagan Serai ke Hospital Taiping untuk mendapatka­n rawatan.

Menurutnya, hatinya tersentuh apabila membaca kisah keperitan Haslizah yang terpaksa membawa anaknya itu yang mengalami masalah saraf, ketumbuhan otak dan sawan ke hospital dengan motosikal dan memerlukan kereta.

“Saya mudah tersentuh hati terutama melihat kisah seperti ini kerana sejak kecil saya sudah melihat ayah membantu orang lain dalam kesusahan.

“Apabila membaca kisah mereka saya ambil keputusan membantu serta mencari kereta terpakai untuk disumbangk­an.

“Namun, saya memilih Proton Iswara kerana ia lebih selesa berbanding Perodua Kancil yang agak sempit untuk keluarga itu yang turut mempunyai dua anak lain,” katanya ketika dihubungi di Manjung, semalam.

Katanya, dia membeli kereta berkenaan daripada seorang lelaki dari Kedah yang turut memerlukan wang untuk perubatan ibunya yang mempunyai penyakit kanser.

“Saya bercadang ke rumah keluarga Haslizah pada Sabtu ini dan pemilik kereta juga akan datang pada hari sama untuk menyerahka­n Proton Iswara berkenaan.

“Saya bayar separuh dulu dan selepas urusan pertukaran nama kepada ibu atau bapa kanak-kanak itu selesai baki selebihnya akan dibayar,” katanya.

Beliau yang berasal dari Terengganu itu turut berharap sumbangann­ya itu dapat meringanka­n beban dan memberikan keselesaan kepada keluarga berkenaan terutama anak pasangan itu yang sakit.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Haslizah yang tidak mampu membeli kereta, selama ini hanya bergantung kepada motosikal suaminya untuk membawa Nour Rabiatul Adawiyyah Iman ke Hospital Taiping bagi rawatan susulan.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu perlu ke hospital dua hingga tiga kali sebulan. Mereka terpaksa menunggang motosikal lebih 20 kilometer dari rumah di Taman Lembah Beriah, Gunung Semanggol, Bagan Serai.

 ??  ?? LAPORAN Harian Metro, 4 Februari lalu.
LAPORAN Harian Metro, 4 Februari lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia