Harian Metro

Beri binatang makan amalan terpuji

- Bersama Hilmi Isa Penulis Perunding Psikologi Bahasa

Daripada Abdullah bin Umar, bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Seorang wanita di azab kerana seekor kucing yang ia kurung hingga mati kelaparan. Maka dia masuk neraka kerananya. Engkau tidak memberinya makan dan tidak pula engkau beri minum ketika engkau mengurungn­ya dan tidak pula engkau membiarkan­nya agar dia makan binatang-binatang tanah.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Di dunia ini, kita berkongsi kehidupan dengan pelbagai makhluk lain. Satu daripada makhluk terbesar selain manusia adalah binatang.

Kita dan binatang saling memerlukan dan sesetengah jenis binatang menjadi hidangan kita. Tidak semua aspek kehidupan kita sama dengan binatang, tetapi banyak aspek zahiriah kita ada persamaan dengannya.

Berdasarka­n hadis itu, jelas ada wanita diazab di neraka kerana tidak memiliki sikap belas ihsan terhadap seekor kucing.

Sisa makanan kita setiap hari adalah hidangan yang lazat bagi mereka. Apa salahnya kita beri mereka berbanding mencampakn­ya terus dalam tong sampah?

Malah, keadaan seekor kucing yang sarat bunting juga lemah dan lelah sama seperti wanita mengandung yang tidak bermaya untuk berdiri dan berjalan.

Alangkah baiknya jika kita mempunyai sebahagian peruntukan untuk membeli makanan buat kucing jalanan (stray

cats). Ia binatang yang tidak dipandang kerana ramai hanya ingin memelihara kucing berbulu kembang atau baka import.

Beri harapan dan kehidupan untuk binatang kerana akan membuatkan kita bahagia. Kecintaan kepada binatang akan membentuk sikap dan jiwa penyayang.

Anak kecil yang diasuh mencintai binatang akan membesar dengan sikap prihatin dan sentiasa mengambil berat. Apabila ternampak kucing kurus kering di tepi jalan, hati mereka terdetik untuk memberi makanan.

Sifat prihatin itu bukan saja ‘tumpah’ terhadap binatang, bahkan kepada manusia juga. Perhatikan bagaimana masyarakat negara maju memberi layanan terhadap binatang.

Mereka sangat prihatin terhadap kebajikan binatang sehingga pesalah yang menzalimi binatang akan dikenakan hukuman berat.

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ketika ada seorang lelaki sedang berjalan di suatu jalan ia merasa sangat haus. Lalu ia menemukan sebuah sumur kemudian dia turun ke dalamnya lalu ia minum dan kemudian keluar. Tiba-tiba ada seekor anjing yang menjulurka­n lidahnya. Akibat kehausan ia terpaksa makan tanah lembap.

Orang itu lalu berkata, “Anjing ini kehausan seperti yang aku alami.” Lalu ia turun ke sumur itu kemudian mengisi sepatunya dengan air dan memegangny­a dengan mulut lalu memberi minum anjing itu. Maka, Allah berterima kasih kepadanya dan mengampuni­nya.”

Sahabat kemudian bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah terhadap haiwan-haiwan ada pahala bagi kami?” Baginda bersabda, “Pada setiap makhluk hidup mendapat pahala.” (Hadis Riwayat Muslim)

Jelas, amalan menjaga, merawat atau memberi makanan serta minuman kepada binatang terbiar adalah amalan yang sangat terpuji dan mulia di sisi agama.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia