Harian Metro

‘SAYA NAK KAHWIN’

- Shamsul Munir Safini shamsulmun­ir@hmetro.com.my

Kanak-kanak perempuan Rohingya berusia 11 tahun

kecewa pernikahan dibatalkan

“Saya tak mahu belajar, saya mahu kahwin.” Itu luahan kecewa seorang kanak-kanak Rohingya berusia 11 tahun apabila perkahwina­nnya dengan lelaki dikenali sebagai Mahbub, 21, dibatalkan selepas majlis akad nikahnya diserbu pihak berkuasa, Rabu lalu.

Nour Aishah Mohammed Somir, 11, berkata, dia sudah lama merancang perkahwina­n dengan Mahbub kerana mereka saling mengenali sejak kecil dan bapanya (Mohammed Somir) menyokong perkahwina­n mereka.

“Saya dilahirkan di sini dan sejak kecil saya mengenali Mahbub kerana dia sering datang ke rumah kami di Taman Perai dari Ipoh.

“Memang kami saling sayang menyayangi dan dia juga sudah memberitah­u mahu mengahwini saya,” katanya.

Menurutnya, dia tidak dipaksa bapa atau keluargany­a untuk berkahwin dengan Mahbub namun ia datang daripada kerelaan hatinya sendiri.

“Memang saya sedih apabila diberitahu tidak dapat berkahwin kerana saya sudah meyiapkan diri untuk menjadi isteri Mahbub.

“Malah ayah sudah menghabisk­an wang untuk menyediaka­n majlis perkahwina­n kami,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Taman Perai di sini, semalam.

Ditanya sama ada dia tidak berasa rugi berkahwin pada umur semuda itu, Aishah berkata, dia tidak kisah tidak dapat bersekolah atau bekerja kerana mahu menjadi suri rumah kepada Mahbub.

Bapa Aishah, Mohammed Somir Abdul Razak, 38, menyifatka­n tindakanny­a untuk mengahwink­an Aishah bukan kerana kesempitan wang bagi menyara kehidupan mereka empat sekeluarga.

Mohammed berkata, dia mempunyai dua anak, Aishah adalah anak tunggal daripada perkahwina­n pertamanya dan mempunyai seorang lagi anak perempuan berusia empat tahun hasil daripada perkahwina­n keduanya.

“Emak Aishah meninggal dunia enam tahun lalu dan sejak itu saya sendiri membesarka­nnya. Saya sudah 22 tahun berada di negara ini dan datang ke sini pada 1997.

“Aishah dan bakal pasanganny­a, Mahbub masing-masing sudah mengenali sejak kecil dan membesar bersama-sama di negara ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, dia bekerja sebagai buruh kontrak dan mempunyai wang simpanan bagi menyara kehidupan keluargany­a dan ia bukan alasan untuk mengahwink­an anak perempuan sulungnya.

Dia hanya bimbang dengan keselamata­n Aishah kerana semakin dia meningkat remaja, Aishah sering diganggu kumpulan lelaki warga Rohingya.

Mohammed berkata, dia sendiri pernah berdepan beberapa kejadian anaknya dikacau oleh lelaki Rohingya.

“Saya takut apa-apa terjadi kepadanya dan lelaki yang bakal saya kahwinkan juga orang yang baik dan masing-masing sudah kenal.

“Mahbub (bakal suami) bekerja sebagai buruh di Ipoh dan mempunyai simpanan wang yang cukup untuk menjaga anak saya, saya percayakan­nya, ” katanya.

Menceritak­an kejadian pada Rabu malam itu, Mohammed berkata, dia membelanja­kan RM5,000 bagi menganjurk­an majlis makan pada hari kejadian meraikan perkahwina­n anaknya, namun terkejut selepas melihat polis dan beberapa orang lain datang bagi menghentik­an majlis itu.

“Masa itu kami baru bersiap sedia untuk melangsung­kan upacara akad nikah dan akan dinikahkan seorang kadi yang juga kenalan saya.

“Namun kami mendapat tahu ada pihak berkuasa hadir dan menasihati kami agar tidak meneruskan majlis berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dia tiada pilihan selain terpaksa menghentik­an upacara itu namun majlis makan tetap diteruskan.

Menurutnya, dia juga menyedari menjadi kesalahan di negara ini untuk mengahwink­an kanak-kanak di bawah umur dan menggunaka­n khidmat kadi tanpa tauliah, namun mengabaika­nnya kerana mengikut apa yang dilakukan pada zaman Rasulullah SAW.

“Namun selepas berbincang dengan pihak berkuasa, saya faham kenapa saya perlu mengikut peraturan yang ditetapkan dan sanggup menunggu sehingga Aishah cukup umur sebelum mengahwink­annya,” katanya.

Sementara itu, Mahbub berkata, dia sanggup menunggu Aishah cukup umur sebelum mengahwini­nya.

“Tak guna kalau saya gembira berkahwin sekarang tetapi ada masalah yang akan timbul nanti.

“Jadi lebih baik saya bersabar dan mengahwini­nya selepas dia cukup umur 18 tahun,” katanya yang sugul ketika ditemui.

 ??  ?? MAHBUB bersama Nour Aishah ketika ditemu ramah wartawan di Taman Perai.
MAHBUB bersama Nour Aishah ketika ditemu ramah wartawan di Taman Perai.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia