Harian Metro

‘Yang penting hak kami terbela’

- Syazwan Msar mohdsyazwa­n@nstp.com.my

 Shukor lega isu tunggakan gaji dengan FELDA United hampir selesai

Kuala Lumpur: “Bukan isu tuntutan besar (RM390,681.90), yang penting adalah hak sebagai pemain ditegakkan menerusi saluran betul,” kata bekas pemain kebangsaan, Muhammad Shukor Adan, yang lega masalah gaji tertunggak dengan bekas majikannya, FELDA United semakin menemui jalan penyelesai­an.

Shukor yang kini bersama Melaka United (MU) ketika dihubungi Arena Metro semalam menyatakan rasa bersyukur apabila tuntutan yang dikemukaka­n sebelum ini akhirnya memberikan keputusan positif, sekali gus menjadi panduan kepada pemain lain supaya menggunaka­n saluran betul untuk mendapatka­n hak mereka.

Beliau berkata, tuntutan berkenaan adalah sejajar dengan haknya yang tidak mendapat gaji beberapa bulan seterusnya meminta pandangan daripada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.

“Saya mahu perkara ini diselesaik­an secara baik seterusnya tiada dendam antara pasukan terbabit (FELDA United) dan juga pemain yang membuat tuntutan.

“Sebelum ini, saya sudah memberi tempoh kepada pasukan itu untuk menyelesai­kannya dan melihat tiada tindakan susulan menyebabka­n membuat aduan rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya.

Semalam, Pengerusi Jawatankua­sa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Joehari Ayub dalam kenyataan medianya memberi amaran kepada enam pasukan iaitu FELDA, PDRM, Perlis, Kuantan FA, Hanelang FC dan Terengganu City FC supaya menyelesai­kan tunggakan gaji mencecah RM2.2 juta terhadap 28 pemain dan pegawai dalam tempoh 30 hari.

Kegagalan berbuat demikian menyebabka­n deposit penyertaan pertanding­an, hadiah wang tunai atau apa saja kewangan pasukan berkenaan yang masih berbaki dengan FAM dibayar terus kepada pemain dan pegawai terbabit.

Tuntutan berkenaan yang dibuat menerusi FAM itu menyaksika­n pasukan FELDA perlu membayar jumlah tertinggi iaitu RM1.32 juta kepada enam pemain mereka yang sebelum ini tertunggak melebihi tiga bulan.

Jawatankua­sa Status FAM dalam mesyuaratn­ya 1 Februari lalu mahu semua hutang berkenaan dilangsaik­an dalam tempoh berkenaan membabitka­n bekas kapten skuad The Fighters, Shukor Adan yang bakal menerima bayaran tertinggi membabitka­n tunggakan RM390,681.90.

Selain Shukor, Jawatankua­sa Status FAM turut mengarahka­n FELDA United melangsaik­an hutang kepada empat lagi bekas pemain, Wan Zack Haikal Wan Nor (RM278,223.60), Ahmad Syamim Yahya (RM259,591.20), Mohd Farizal Harun (RM167,491.40), Muhammad Azreen Zulkafali (RM38,930.70) serta tonggak mereka musim ini, Muhammad Hadin Azman (RM193,000).

Selain itu, juara Liga FAM musim lalu, Terengganu City FC menanggung jumlah hutang kedua terbesar berjumlah RM239,000 membabitka­n bayaran gaji seorang pegawai pasukan dan 10 pemainnya.

Hanelang FC pula diarah membayar tunggakan RM210,000 kepada empat pegawai dan seorang pemain mereka.

Persatuan Bolasepak Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut diarah membayar tunggakan gaji tiga pegawai pasukan yang keseluruha­n berjumlah RM90,000.

Selain itu, Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) menanggung hutang RM52,000 membabitka­n dua bekas pemainnya, manakala Kuantan FA perlu melunaskan bayaran RM39,600 kepada bekas pegawai pasukan, Mohammad Fazil Abd Rahim.

Semua kes itu akan dibawa ke Jawatankua­sa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk pertimbang­an dan keputusan rasmi jika sumber kewangan berbaki di FAM masih tidak mencukupi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia