Harian Metro

Hilang kawalan sebelum rempuh pokok

-

Kuala Nerus: Lima sekeluarga termasuk bayi perempuan berusia sembilan bulan maut selepas kereta dinaiki terbabas dalam kemalangan di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit, Kuala Nerus, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 pagi itu, Mohd Kharulinza­m Jusoh, 38, bersama isteri, Nur Syaazlien Syarizam Salleh, 21, dan anak mereka, Nur Khaira Aisyah berusia sembilan bulan meninggal dunia di tempat kejadian.

Dua lagi yang maut, adik dan ibu kepada Nur Syaazlien, Muhammad Nashrullah, 5, dan Rozilawati Mustafa@Razali, 43.

Sementara itu, seorang lagi anak pasangan suami isteri, Muhammad Khairul Haziq,5, parah dan masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Difahamkan, ketika kejadian, semua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Durian Mas, Manir selepas menghadiri kenduri perkahwina­n di Kota Bharu, Kelantan.

Bagaimanap­un, kereta Proton Wira dinaiki enam mangsa dikatakan hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh pokok.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Pegawai Bomba Tinggi Yusmizan Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.01 pagi sebelum dua jentera dari BBP Kuala Nerus dan Kuala Terengganu bersama 12 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, seorang daripada mangsa sudah berada di luar kenderaan manakala lima lagi masih tersepit.

“Kita mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluark­an semua mangsa. Ketika itu, dua mangsa yang parah dikejarkan ke hospital manakala empat lagi diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini.

Bagaimanap­un, Rozilawati disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HSNZ.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, sebaik tiba di lokasi, kereta Proton Wira dipandu Mohd Kharulinza­m dikatakan hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh sebatang pokok yang ada di sebelah kanan jalan.

“Mohd Kharulinza­m, Nur Syaazlien, Nur Khaira Aisyah dan Muhammad Nashrullah meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi mangsa dikejarkan ke HSNZ Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanap­un, seorang mangsa yang cedera, Rozilawati disahkan meninggal dunia pada jam 8.43 pagi manakala Muhammad Khairul Haziq, 5, yang parah masih dirawat di HSNZ Kuala Terengganu,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia