Harian Metro

PRK Semenyih penanda aras populariti PH

-

Putrajaya: Ramalan firma penyelidik­an, Fitch Solutions Macro Research (Fitch Solution) mengatakan populariti Pakatan Harapan (PH) merudum itu berasas atau sebaliknya, boleh dilihat menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih pada 2 Mac ini.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) Khalid Abdul Samad berkata, PRK Semenyih boleh dijadikan penanda aras sejauh mana sokongan rakyat kepada PH kini.

“(PRK) Semenyih memang akan jadi penanda sejauh mana sokongan rakyat kepada PH, sama ada merosot atau sebaliknya.

“Jika dilihat dari satu sudut, sekiranya (sokongan rakyat) merosot atas sebab prestasi kerajaan PH ini adalah tidak seperti diharapkan, ia perlu difahami kerana kerajaan masih baru dan masih perlu menangani pelbagai masalah yang diwarisi (dari kerajaan terdahulu).

“Jadi tanggapan iaitu kita (kerajaan PH) tidak ‘deliver’, ia memang adalah tanggapan kuat dalam kalangan masyarakat tapi itu boleh ditangani dalam tahun dan masa akan datang. Tidak semestinya, sekiranya merosot ia adalah petanda apa yang akan berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi penyampaia­n hadiah Pertanding­an Memancing Putrajaya sempena sambutan Hari Wilayah Persekutua­n 2019 di sisiran tasik Presint 1.

Sebelum ini, Fitch Solution mengatakan, PH kini sudah lemah berikutan perselisih­an sesama mereka kerana sudah tiada musuh bersama iaitu Barisan Nasional (BN).

Bukan itu saja, populariti pakatan yang didokongi empat parti iaitu DAP, BERSATU, PKR dan AMANAH itu diramalkan menurun dalam tempoh beberapa bulan akan datang berikutan dasar-dasar yang diamalkan dan perbalahan dalam gabungan itu sendiri.

Fitch Solution mengatakan, PH mengalami risiko penurunan dalam populariti­nya kerana pengundi semakin berpendapa­t kerajaan tidak membantu mengurangk­an kos sara hidup, gabungan PH berulang kali menunjukka­n perpecahan dalam kalangan mereka dan ketiga, kekecewaan pengundi dengan idea iaitu kerajaan PH akan membawa Malaysia Baharu dengan kesaksamaa­n kaum yang lebih tinggi.

Dalam pada itu, Khalid berkata, jangkaan dan harapan rakyat begitu tinggi ketika PH mengambil alih tampuk pemerintah­an negara dan selepas sembilan bulan rakyat mengharapk­an segalanya berubah.

 ?? Khalid Abdul Samad ??
Khalid Abdul Samad

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia