Harian Metro

Winks optimis kemampuan Spurs

-

London: Harry Winks

menegaskan, Tottenham yang melayan kunjungan Leicester malam ini masih berpeluang merebut gelaran Liga Perdana Inggeris.

Skuad kendalian Mauricio Pochettino menuju aksi hujung minggu dengan ketinggala­n lima mata di belakang pendahulu Manchester City dan Liverpool.

Namun, ketika kebanyakan pemerhati melihat Tottenham yang menduduki tangga ketiga sebagai bukan pesaing kejuaraan, mereka memenangi tiga perlawanan terakhir liga untuk terus mengekori rapat City dan Liverpool.

Memenangi kejuaraan Inggeris buat kali pertama sejak 1961 mampu menjadi pencapaian menakjubka­n buat Tottenham yang langsung tidak membeli pemain dalam dua jendela perpindaha­n terakhir.

Dan dengan City dan Liverpool akan berdepan kelab utara London itu di akhir musim nanti, Winks yakin peluang mereka masih terbuka.

“Kami tewas kepada Wolves dan orang mula memperkata­kan yang kami sudah tercicir daripada persaingan merebut kejuaraan dan hanya perlu menumpukan untuk menjadi empat terbaik,” kata pemain tengah

Spurs itu.

“Kemudian kami menewaskan Newcastle dan mereka kata kami kembali dalam saingan. Sebenarnya kami tidak mempedulik­an kata-kata itu, kami hanya memberi tumpuan dari satu perlawanan ke satu perlawanan dan siapa lawan seterusnya.

“Di akhir musim nanti kita akan mengetahui­nya dan lihat di mana gelaran itu berada. Kami akan berdepan Man City dan Liverpool, itu dua perlawanan penting yang perlu dimenangi jika mahu merebut kejuaraan.”

Aksi mantap Winks di bahagian tengah adalah kunci kepada kemampuan pasukannya menangani masalah kecederaan rakan sepasukan England, Harry Kane dan Dele Alli.

Kane dijangka kembali beraksi pada Mac, tetapi dia dan Alli akan terlepas kunjungan Leicester ke Wembley. – AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia