Sinar baharu buat Sadariah
Warga emas hidup dalam longgokan barangan usang, terbuang dapat bantuan
Seorang wanita warga emas akhirnya menarik nafas lega apabila dapat menghirup udara segar selepas bertahun-tahun tinggal dalam longgokan barangan usang serta terbuang di rumahnya.
Sadariah Baba, 80, yang ditinggalkan suami sejak beberapa tahun lalu terpaksa menetap dalam longgokan barangan terbuang kerana dikatakan tidak berupaya membersihkan sendiri kawasan tempat tinggalnya itu.
Keadaan rumahnya seolah-olah tempat pelupusan sampah dipenuhi longgokan bantal, almari, kain buruk dan pelbagai barangan usang serta terbuang mendapat perhatian Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Taboh Naning serta Majlis Permuafakatan Komuniti Kampung (MPKK) Rantau Panjang untuk bergotong-royong membersihkan kawasan rumah wanita itu.
Sadariah berkata, dia hidup serba kekurangan bukan hanya disebabkan tidak berkemampuan, malah jarak rumah yang jauh dari pekan membuatkannya terputus hubungan dengan masyarakat luar.
“Untuk berjalan jauh pun saya tidak berapa daya inikan pula mahu membersihkan kawasan rumah, mujur hari ini (semalam) ada masyarakat prihatin datang membantu.
“Alhamdulillah, akhirnya saya dapat hidup dalam suasana aman selain berazam tidak akan menyimpan segala barangan lusuh dan terbuang lagi di kawasan rumah,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Solok Kilang, Kampung Rantau Panjang di sini, semalam.
Katanya, selepas ditinggalkan suami dia kini bergantung harap kepada anak angkatnya untuk menyediakan barangan keperluan seperti beras dan bahan makanan lain.
Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning Zairi Suboh berkata, melihat keadaan Sadariah yang mengharukan, dia terpanggil untuk membantu dan memberikan kehidupan terbaik buat warga emas terbabit.
“Melihat keadaan hari tuanya sebegitu ia amat menyentuh hati dan saya bersama pihak terbabit berganding bahu membersihkan kawasan rumah dan ‘menyelamatkannya’ daripada terus hidup dalam keadaan sebegitu.
“Sadariah kini bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan beban perbelanjaannya,” katanya.