Harian Metro

Penjaga noda 4 penghuni direman

-

Kuala Lumpur: Suspek dipercayai terbabit merogol dan mencabul empat penghuni pusat jagaan anak yatim dan asnaf di Danau Kota, Setapak, di sini, direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, lelaki berusia lingkungan 20 tahun itu direman sejak Jumaat lalu hingga Khamis ini.

Katanya, selain itu polis turut mengambil keterangan beberapa individu untuk membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Suspek yang bekerja sebagai penjaga pusat jagaan itu ditahan pada Jumaat lalu dan kini direman selama tujuh hari pada hari sama dia ditahan.

“Malah, sepanjang tempoh itu juga polis sudah memanggil beberapa individu untuk dirakam keterangan mengenai kejadian,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Semalam, Metro Ahad melaporkan betapa luluh hati seorang wanita apabila anak saudara yang dihantar ke sebuah pusat jagaan anak yatim dan asnaf di Danau Kota menjadi habuan nafsu serakah penjaga pusat berkenaan.

Lelaki terbabit dipercayai mengambil kesempatan terhadap anak yatim dan asnaf di bawah jagaannya bagi memuaskan nafsu dengan merogol dan mencabul mangsa.

Bagaimanap­un, perbuatan terkutuk lelaki yang juga suami kepada pemilik pusat berkenaan terbongkar apabila seorang daripada penghuni mendedahka­n perkara itu kepada ibu saudaranya.

Pendedahan kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun itu turut membongkar perbuatan rogol dan cabul dilakukan terhadap tiga lagi penghuni lain di pusat jagaan berkenaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia