Penduduk rakam pemandu buang puntung rokok
Johor Bahru: Seorang pemandu berdepan kompaun maksimum RM500 selepas perbuatannya membuang puntung rokok dari kenderaan dirakam penduduk sebelum diserahkan kepada penguat kuasa Majlis Perbandaran Pengerang (MPP), minggu lalu.
Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pengerang Bukhari Abd Rahman berkata, bertindak atas gambar dirakam penduduk prihatin, pihaknya menjalankan siasatan bagi mengesan lelaki terbabit.
“Kejadian berlaku di sekitar Jalan Ungku Abdul Aziz, Bandar Penawar dan hasil kerjasama beberapa agensi kerajaan lain, kami berjaya mengesan alamat mengikut nombor pendaftaran kenderaan.
“Bahagian penguat kuasa sudah mengambil tindakan dengan mengeluarkan kompaun dan menyerahkannya kepada lelaki terbabit mengikut Seksyen 3(a) Undang-undang Kecil Mencegah Kekotoran PBT Pengerang 2017, jika sabit kesalahan boleh dikompaun maksimum RM500.
“Dalam kejadian ini, kami berjaya mengenal pasti pesalah yang membuang sampah hasil kerjasama orang ramai,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau mengalu-alukan keprihatinan penduduk merakamkan gambar pesalah membuang sampah, vandalisme atau merokok di kawasan larangan supaya tindakan susulan dapat diambil.
Menurutnya, gambar perlu disertakan maklumat lengkap seperti masa, tarikh serta lokasi dan boleh dilaporkan kepada PBT Pengerang di nombor 019-7113532.
Katanya, identiti pemberi maklumat adalah rahsia bagi memastikan keselamatan mereka terjamin, namun pada masa sama pihaknya akan memberikan saguhati termasuk sijil penghargaan kepada pengadu.
“Tindakan mereka menjadi telinga dan mata PBT Pengerang boleh membantu menjadikan bandar ini lebih bersih dan bebas sampah.
“Bagaimanapun, kami menasihatkan mereka berhati-hati dan sentiasa menjaga keselamatan diri,” katanya.
Menurutnya, seiring dengan revolusi industri 4.0, PBT Pengerang komited membangunkan Pengerang sebagai sebuah bandar pintar bertaraf antarabangsa.
Katanya, untuk menjadikan PBT Pengerang antara yang terbaik di negara ini, empat komponen utama digariskan dalam Pengerang Pintar iaitu smart traffic light, smart infra, Pengerang Apps dan digital bunting.
“Kami mempunyai perancangan untuk memajukan bandar ini namun memerlukan kerjasama semua pihak, sama ada kakitangan mahupun penduduk Pengerang sendiri,” katanya.