Kebimbangan keluarga tahanan berasas
Kuching: Wisma Putra akan memastikan usaha membebaskan rakyat Malaysia yang kini ditahan di sebuah penjara di Kemboja dilakukan sebaik mungkin. Pengarah Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri, Deddy Faisal Ahmad Salleh berkata, pihaknya sudah berhubung dengan Zunita Sedini, ibu Yusuf Islam Abdul Halik bagi memaklumkan perkembangan terkini rundingan.
Kuching: Ahli keluarga kepada 47 mangsa tahanan rakyat Malaysia mula resah dan bimbang terutama membabitkan jaminan keselamatan anak mereka di Penjara Banteay Meanchey, Kemboja.
Penasihat Khas (Hal Ehwal Sarawak) di Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Hafsah Harun berkata, kebimbangan keluarga mangsa berasas selepas mengambil kira faktor umur tahanan yang majoritinya anak muda.
“Sudah masuk hari ke-60 mereka ditahan di Kemboja. Saya menyeru kepada semua kepemimpinan kerajaan negeri dan Pusat untuk turun melawat ahli keluarga tahanan. Sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan kerisauan dan kebimbangan mereka.
“Saya mengatur pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dengan ahli keluarga mangsa. Saya menyeru rakyat Malaysia untuk tidak menularkan spekulasi tidak benar di media sosial mengenai isu mangsa tahanan kerana dikhuatiri mengganggu proses rundingan pihak kerajaan dan kerajaan Kemboja,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Daripada 47 mangsa ditahan, sejak 11 Disember lalu, seramai 44 tahanan membabitkan rakyat Sarawak yang majoritinya berusia 19 tahun.
Semua mereka disyaki menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia selepas memperdaya semua mangsa dengan gaji lumayan jika bersetuju bekerja di Kemboja termasuk ada antara mereka perlu membayar wang pendahuluan USD100 hingga USD200 seorang.
Mereka ditahan pihak berkuasa tempatan kerana dakwaan terbabit kegiatan perjudian atas talian, namun tidak dibawa ke mahkamah untuk proses dakwaan. Mengikut undang-undang negara berkenaan, semua mereka boleh dikenakan tahanan tanpa bicara selama tiga tahun.
Sementara itu, Hafsah ketika mengulas lanjut berkata, beliau menghargai komitmen Kementerian Luar susulan tindakan segera berikutan sidang media khas diketuai Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien pada 7 Februari lalu.
“Saya juga mengucapkan penghargaan kepada usaha pihak kementerian itu untuk membawa pulang semua tahanan ke tanah air,” katanya.