Takrif semula definisi keganasan
Kuantan: Definisi keganasan atau ekstremis perlu ditakrifkan semula kerana sering disalah tafsir oleh masyarakat sehingga digunakan untuk melabel aktivis Islam sebagai pengganas atau terorisme.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata, ia adalah satu istilah yang berbahaya dan jika disalahgunakan boleh membuatkan masyarakat dunia terutama barat memandang serong kepada aktivis Islam.
“Saya rasa stigma atau anggapan masyarakat terhadap erti definisi keganasan atau ekstremis perlu lebih diperjelaskan sebab apabila bercakap pasal keganasan orang mengaitkannya dengan Islam.
“Jadi penting untuk kita mendefinisikan semula istilah keganasan atau ekstremis ini sebab saya lihat sekarang ramai yang menyalahgunakan perkataan itu dengan merujuk kepada umat Islam,” katanya dalam sidang media selepas Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina di Rumah Kebajikan Rapha Children’s Home, semalam.
Pada sambutan itu, Fuziah turut menyampaikan sumbangan kepada rumah kebajikan berkenaan yang mempunyai 37 penghuni berusia antara tiga hingga 18 tahun.
Semalam media melaporkan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mahu Malaysia menetapkan definisi jelas mengenai tindakan keganasan atau ekstremis berikutan banyak pihak mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang mudah menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk menahan seseorang tanpa dibicarakan.
Sementara itu, Fuziah berkata, 12 Setiausaha Politik (Setpol) kepada Menteri Kabinet yang belum mengisytiharkan harta perlu melakukannya dalam tempoh terdekat bagi mengelak tindakan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Menjadi tanggungjawab mereka menyerahkan butiran jumlah pendapatan dan aset kepada SPRM dan sepatutnya tidak ada alasan bagi kelewatan pengisytiharan itu dibuat,” katanya.