‘Kami tertekan’
525 penduduk hadapi kesulitan selepas berpindah bagi beri laluan kepada pembinaan projek pembangunan bercampur
“Setiap hari kami enam beranak hidup dalam keadaan tertekan kerana rumah sementara yang kami sewa kerap ada masalah bekalan air selain sempit.
“Jika hendak sewa rumah lebih besar dan selesa harganya mencecah RM1,500, namun kami cuma mampu menyewa flat kecil berharga RM800 saja,” kata Barakath Aminah Ali, 46.
Wanita itu antara 525 penduduk kawasan perumahan Lot 9714 Jinjang Selatan Tambahan yang mengalami kesulitan selepas berpindah bagi memberi laluan kepada pembinaan sebuah projek pembangunan bercampur termasuk rumah gantian penduduk dikendalikan pemaju yang dilantik kerajaan terdahulu pada Januari 2006.
Ibu kepada empat anak itu berkata, walaupun pihak pemaju memberikan RM700 sebulan untuk membayar sewa bagi penempatan sementara penduduk yang mendapat lesen menduduki sementara (TOL) itu, rata-rata mereka perlu menambah lagi baki sewa rumah.
“Harga sewa rumah di kawasan ini antara RM800 hingga RM1,500. Jadi jika pemaju beri RM700, maka kami perlu menambah bakinya antara RM100 hingga RM800.
“Bagi kami yang berpendapatan rendah ini, wang sebanyak itu boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan keperluan lain.
“Kami susah hati sampai sekarang projek itu masih terbengkalai. Entah berapa lama lagi kami akan duduk menyewa,” katanya selepas menyertai sesi taklimat perkembangan terkini mengenai isu perumahan itu, semalam.
Ketua Pusat Perkhidmatan Komuniti Kepong, Yee Poh Peng berkata, pengorbanan penduduk yang berpindah ke kawasan lain seolah-olah disia-siakan berikutan tapak Parcel F yang dikatakan dibina untuk menggantikan rumah penduduk masih belum dimulakan.
“Penduduk bersetuju dengan pembinaan projek itu apabila kira-kira 154 keluarga sudah mengosongkan tiga kawasan masing-masing sejak lebih tiga tahun lalu, tetapi sampai sekarang satu tiang pun tak nampak dibina.
“Jadi, kali ini kami mahu pemaju bina rumah dulu dan apabila siap baru baki 371 keluarga akan berpindah terus ke rumah baru yang dijanjikan itu.
“Kita juga meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan dokumen hitam putih berkenaan janji Datuk Bandar yang bersetuju membantu menyelesaikan isu ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kepong, Datuk Mazlan Hashim berkata, beliau akan menyokong penduduk berkenaan mendapatkan hak mereka dengan membantu menyuarakan isu itu kepada pihak atasan.