Harian Metro

Senjata dalam kepala katil

- Hadzlihady Hassan hadzlihady@hmetro.com.my

 Polis temui bom tangan, dua pistol, ratusan peluru hidup di rumah dua tingkat

Beratus peluru hidup, pistol dan bom tangan ditemui dalam kepala katil selepas sepasukan polis melakukan pemeriksaa­n di sebuah rumah dua tingkat di Taman Bukit Indah di sini, kelmarin.

Semua 349 peluru hidup, dua pistol dan sebutir bom tangan yang masih aktif ditemui selepas polis membuat siasatan semula di rumah berkenaan susulan penemun pil ekstasi dan peralatan memproses dadah bernilai RM700, 000 di rumah itu pada 2 Disember tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pemeriksaa­n jam 2.30 petang itu dibuat susulan serbuan pertama Disember tahun lalu di rumah yang dipercayai dijadikan makmal memproses dadah.

Menurutnya, rumah berkenaan sudah ditinggalk­an penyewanya kira-kira enam bulan sebelum serbuan dibuat.

“Dalam serbuan 2 Disember lalu, polis menemui sejumlah pil ekstasi dan peralatan memproses dadah dengan nilai rampasan RM700,000 di rumah terbabit.

“Polis sekali lagi pergi ke rumah itu untuk siasatan lanjut semalam (kelmarin) dan terkejut apabila menemui beberapa butir peluru, pistol dan bom tangan yang masih aktif disembunyi­kan dalam kepala katil,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang (IPK) dipanggil untuk membuat pemeriksaa­n.

“Semua barang yang ditemui itu dibawa ke Stor Simpanan Cawangan Persenjata­an IPK untuk disimpan dan bom pula akan dimusnahka­n esok.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya.

Menurutnya, polis kini mengesan seorang lelaki berusia 42 tahun yang mempunyai 16 rekod kesalahan berkaitan dadah bagi membantu siasatan berkaitan kes itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia