Harian Metro

Melutut rayu pulangkan anak

-

Pekan: Ibu kanak-kanak perempuan ditemui mati dalam keadaan tragis di ladang sawit Kampung Tanjung Medang Hilir, di sini, Sabtu lalu, Siti Masitah Ibrahim, 11, melutut dan merayu kepada suspek supaya memulangka­n anaknya.

Perkara itu didedahkan ibu saudara mangsa, Norasiah Abdul Manan, 33, selepas suspek ditahan penduduk kampung pada malam 30 Januari lalu.

Katanya, ibu mangsa, Solihah Abdullah, 35, merayu kepada suspek dikenali sebagai Assom itu supaya memberitah­u di mana Siti Masitah memandangk­an dia individu terakhir dilihat bersama kanak-kanak berkenaan.

“Sambil menangis Kak Long (Solihah) meminta Assom memulangka­n Masitah, malah dia terus berlutut dan merayu kepada suspek, namun lelaki terbabit berkeras mengatakan dia tidak tahu.

“Kami kenal suspek kerana dia pernah tinggal di kawasan ini namun difahamkan berpindah dua tahun lalu,” katanya di rumah keluarga mangsa, di sini, semalam.

Difahamkan, suspek berusia 23 tahun itu individu terakhir dilihat membawa mangsa menaiki motosikal pada hari dia dilaporkan hilang.

Dalam kejadian jam 4 petang Sabtu lalu, mayat Siti Masitah ditemui dalam keadaan tidak sempurna dengan tangannya diikat ke belakang dan tidak berseluar dalam ladang sawit Kampung Tanjung Medang Hilir.

Lebih memilukan, kepala mangsa didapati terpisah daripada badan manakala beberapa organ dalamannya hilang.

Norasiah berkata, dia hairan bagaimana Siti Masitah boleh mengikut suspek sedangkan anak ketiga daripada empat beradik itu bukan mudah mesra dengan orang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia