Harian Metro

Lapan kena dakwa

- Mohd Hafizee Mohd Arop hafizee@hmetro.com.my

 Hadapi pertuduhan sebabkan kematian lelaki ditemui dalam lombong

Lapan Orang Asli termasuk seorang anggota tentera berpangkat sarjan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tuduhan menyebabka­n kematian seorang lelaki dalam kejadian enam tahun lalu.

Semua tertuduh iaitu Sarjan Hanny Itam, 34, Norazizan Awang, 34, Lemay Uda Jamil, 34, Laies Pa’Engah, 36, Ramlan Dollah, 24, Jassiva Pandak, 29, Azwan Alim, 28, dan Irwan Ngah, 27, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Julie Lack Abdullah.

Mengikut pertuduhan, semua mereka secara bersama-sama menyebabka­n kematian Mohd Azrin Mohd Arif berusia 36 tahun dalam kejadian di Kampung Chenderung Kelubi, Tanjung Tualang antara jam 12 tengah malam hingga 3.30 pagi pada 5 April 2013.

Mereka itu didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Naidatul Athirah Azman manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Julie Lack kemudian menasihatk­an tertuduh melantik peguam kerana tuduhan yang dihadapi berat dan sekiranya tidak mampu boleh berhubung dengan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) untuk mendapatka­n bantuan.

Tiada jaminan ditawarkan terhadap mereka dan kes akan disebut semula 11 Mac depan.

Pada 5 Februari lalu, akhbar melaporkan tujuh suspek ditahan antara 29 Januari hingga 2 Februari lalu di sekitar Kampung Gajah dan Tanjung Tualang manakala anggota tentera berpangkat sarjan ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, Perlis pada 5.30 petang pada 4 Februari.

Pada 9 April 2013, ibu bapa Mohd Azrin membuat pengecaman di Hospital Changkat Melintang dan mengesahka­n mayat berkenaan adalah anak mereka selepas ia ditemui di lombong oleh empat lelaki yang menjala.

Difahamkan, bapa mangsa mengesyaki anaknya dibunuh pada 5 April 2013 selepas panggilan telefon pada malam itu sebaik mangsa keluar dari rumah tidak berjawab.

 ??  ?? LAPAN tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan menyebabka­n kematian lelaki.
LAPAN tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan menyebabka­n kematian lelaki.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia