Harian Metro

Nasi kuah air sejuk

- Ekhwan Haque Fazlul Haque ekhwan@hmetro.com.my

Nasi berkuah air sejuk. Itu menu yang dijamah sebahagian besar rakyat Malaysia yang kini ditahan di penjara di Poipet dalam wilayah Banteay Mancheay, Kemboja sejak Disember lalu.

Perkara itu didedahkan ibu kepada Yusuf Islam Abdul Halik, 21, yang menjadi seorang daripada 47 tahanan di negara itu.

Zunita Sedini, 42, berkata, anak sulungnya memaklumka­n perkara itu ketika berkomunik­asi dengannya menerusi panggilan telefon.

Walaupun sayu mendengar rintihan itu, Zunita tetap memberikan kata semangat kepada Yusuf dan tahanan lain agar terus bertahan sementara urusan pembebasan mereka dilakukan kerajaan Malaysia.

“Yusuf memaklumka­n dia dan rakan lain hanya makan nasi berkuah air sejuk kerana khuatir makanan yang dihidangka­n di penjara tidak halal.

“Sedih mendengar keluhan mereka namun saya tetap meniupkan kata semangat agar terus bersabar kerana usaha membebaska­n mereka giat dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, rakannya yang dikenali sebagai Mohd Azra, 40-an, kini sudah tiba di Kemboja bersama pelbagai bekalan makanan untuk diberikan kepada Yusuf dan tahanan lain.

Katanya, kali terakhir dia berhubung dengan anaknya pada 8 Februari lalu dan dia dimaklumka­n semua yang ditahan dalam keadaan baik walaupun masih menanti keputusan lanjut berhubung penahanan mereka.

“Saya berpesan supaya mereka terus positif kerana bantuan (untuk membebaska­n mereka) kini diusahakan,” katanya.

Sementara itu, ibu seorang lagi tahanan yakin anaknya merengkuk dalam penjara kerana termakan dengan kata manis agensi pekerjaan yang menjanjika­n pendapatan lumayan.

Marsita Mohamad, 48, ibu kepada Nor Ridwana Syahzani Hamddie, 21, tetap optimis anaknya tidak bersalah dan tidak melakukan apa saja yang melanggar undang-undang negara itu.

“Saya menerima berita mengenai penahanan Nor Ridwana selepas dihubungi Wisma Putra pada penghujung Januari lalu.

“Walaupun terkejut dengan berita ini tapi saya berharap kerajaan Malaysia dapat menyelesai­kan kemelut ini segera dan semua tahanan dibebaskan dalam keadaan selamat,” katanya.

Malaysia digemparka­n dengan penahanan 47 rakyat negara ini selepas didakwa terbabit dengan aktiviti judi atas talian.

Mereka dijanjikan gaji dalam dolar Amerika Syarikat dengan hanya menjadi promoter sebuah jenama barang elektronik terkemuka untuk tempoh tiga bulan.

Wisma Putra kini menghantar pasukan rundingan untuk memastikan pembebasan rakyat yang ditahan dilakukan secepat mungkin jika terbukti tiada pembabitan dalam pelanggara­n undang-undang negara itu.

 ??  ?? ZUNITA menunjuk gambar anaknya, Yusuf dalam sidang media di Petra Jaya, semalam.
ZUNITA menunjuk gambar anaknya, Yusuf dalam sidang media di Petra Jaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia