Harian Metro

‘Pemancing duit’ guna gula-gula getah ditahan

-

Batu Pahat: Taktik ‘pancing duit’ menggunaka­n lidi yang diletakkan gula-gula getah di hujungnya membolehka­n dua penjenayah memperoleh ratusan ringgit hasil kegiatan mencuri duit tabung masjid sekitar bandar ini.

Bagaimanap­un kegiatan kedua-dua lelaki berusia 41 dan 42 tahun itu berjaya dikesan pengurusan Masjid Al-Faqih di sini, yang memantau perbuatan suspek menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di kawasan masjid.

Tindakan intipan dilakukan selama beberapa hari selepas mendapati wang kutipan tabung masjid berkenaan terlalu sedikit berbanding sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, usaha pengurusan masjid Al-Faqih memasang CCTV berjaya mengesan perbuatan dua lelaki terbabit sebelum suspek ditahan kira-kira jam 1.30 pagi, Sabtu lalu.

Katanya, suspek ditahan beberapa ahli jawatankua­sa masjid ketika asyik ‘memancing’ duit tabung masjid berkenaan.

“Pemeriksaa­n ke atas suspek membawa kepada penemuan wang tunai berjumlah RM171 dipercayai hasil curi wang tabung masjid menggunaka­n lidi dan gula getah.

“Kedua-dua suspek kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Duit dipercayai hasil ‘memancing’ itu dirampas sebagai bahan bukti jenayah dilakukan mereka,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di sini, semalam.

Azhan berkata, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah dan semakan rekod jenayah lampau mendapati mereka mempunyai rekod dadah sebelum ini.

“Kedua-dua suspek ditahan reman empat hari bermula 9 Februari hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

“Hasil penahanan kedua-dua suspek ini, kami percaya dapat menyelesai­kan beberapa kes kecurian duit tabung masjid di sekitar Ayer Hitam dan Parit Raja, di sini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia